Sunday , 16 December 2018

Home » Nasional » DUN Johor lulus usul MMK ambil maklum, kaji semula status Taman Negara Pulau Kukup

DUN Johor lulus usul MMK ambil maklum, kaji semula status Taman Negara Pulau Kukup

December 6, 2018 2:11 pm Category: Nasional A+ / A-
DUN Johor lulus usul MMK ambil maklum, kaji semula status Taman Negara Pulau Kukup

ISKANDAR PUTERI,. Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Johor mengambil maklum dan mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Usul tersebut dilulus oleh Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan tiga anggota DUN (ADUN) kerajaan iaitu Ir Khairuddin A.Rahim (Senggarang), Mohd Solihan Badri (Tenang) dan Ysahrudin Kusni (Bukit Naning), yang kemudiannya mendapat sokongan majoriti ADUN.

Kesemua mereka membahaskan betapa pentingnya status Taman Negara Pulau Kukup dikekalkan antaranya memulihara alam sekitar pulau itu yang merupakan hutan paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia, menjadi penampan hakisan ombak dan ribut selain menjana ekonomi menerusi pelancongan berikutan kaya dengan flora dan fauna seperti burung, siput dan kerangan.

Terdahulu, Khairuddin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Pakatan Harapan (PH) Johor, mengemukakan usul tersebut dibawa rundingan ke DUN Johor agar MMK mengambil maklum dan mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Selepas membuat penelitian, Suhaizan kemudian memaklumkan DUN Johor bahawa rundingan itu memenuhi peraturan DUN Johor mengikut Peraturan Tetap 29(2) untuk dibahaskan kerana ia merupakan perkara mustahak kepada umum dan perlu disegerakan.

Rundingan tersebut juga dibahaskan selepas mendapat sokongan lebih sembilan ADUN.

Dua hari lepas, tular satu salinan surat warta kerajaan negeri dalam media sosial yang memaklumkan pembatalan perizaban Taman Negara Pulau Kukup.

Menurut warta bertarikh 24 Sept lepas itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytihar sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3(3) Enakmen Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor Aminolhuda Hassan semalam dilaporkan berkata kelulusan berhubung pembatalan perizaban tersebut dibuat pada MMK Negeri sebelum ini, iaitu pada Mac lepas.

Beliau berkata pembatalan perizaban pulau dekat Pontian itu tidak diketahui kerajaan negeri ini ketika ini.

— BERNAMA

scroll to top