Friday , 21 June 2019

Home » Dewan Rakyat » DUN Sabah lulus usul sokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan

DUN Sabah lulus usul sokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan

April 19, 2019 7:03 am Category: Dewan Rakyat, Nasional, Politik A+ / A-
DUN Sabah lulus usul sokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan

Usul itu adalah satu simbolik bagi negeri Sabah dalam usaha mereka mendapatkan semula status rakan kongsi sama taraf.

KOTA KINABALU,. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis sebulat suara meluluskan usul tergempar menyokong pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan Datuk Masidi Manjun ketika membentangkan usul berkenaan berkata, usul itu juga bertujuan memastikan Ahli Parlimen di Sabah meneruskan usaha untuk berunding dengan pihak-pihak berkenaan bagi melaksanakan pindaan itu di Parlimen secepat mungkin.

“Usul ini adalah satu simbolik bagi negeri Sabah dalam usaha kita mendapatkan semula status Sabah sebagai rakan kongsi yang sama taraf dengan Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pada 9 April, satu usul dibentangkan di Dewan Rakyat untuk meminda perlembagaan bagi mengembalikan peruntukan asal yang digubal pada 1963 dan dipinda pada 1976.

“Cadangan pindaan 2019 ini bertujuan mengambalikan peruntukan asal Perkara 1(2) Perlembagaan Pesekutuan yang mengiktiraf rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia, iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sejajar dengan perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Pada 9 April lepas Dewan Rakyat gagal mendapatkan sokongan dua pertiga atau 148 undi yang diperlukan untuk meluluskan Pindaan itu, yang diusulkan khusus bagi mengembalikan Sabah dan Sarawak ke status asalnya seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hanya 138 anggota Parlimen menyokong Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 sementara 59 orang termasuk anggota Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak, tidak mengundi.

Masidi berkata pindaan itu seringkali diutarakan oleh pemimpin Sabah sejak satu ketika dahulu sehingga sekarang, sama ada dalam persidangan di DUN Sabah mahupun di Parlimen.

“Oleh itu saya berharap selepas ini semua Anggota Parlimen dari Sabah mengambil kira suara semua ADUN di Sabah agar usaha berterusan dapat dilakukan untuk merealisasikannya,” tambahnya. — Bernama

scroll to top