Sunday , 19 August 2018

Home » Bisnes » Ekonomi ASEAN-5 dijangka menyederhana

Ekonomi ASEAN-5 dijangka menyederhana

July 10, 2018 11:49 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Ekonomi ASEAN-5 dijangka menyederhana

KUALA LUMPUR,. RHB Research Institute menjangka pertumbuhan sebenar Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) bagi ASEAN-5, termasuk Malaysia akan menyederhana kepada 4.5 peratus pada separuh kedua 2018 berbanding anggaran 5.1 peratus pada separuh tahun sebelumnya.

Ahli ekonominya berpandangan langkah bank-bank pusat utama mengetatkan dasar monetari, selain semakin memuncak ketegangan perdagangan, mencadangkan pertumbuhan global yang akan perlahan pada separuh kedua 2018.

“Di peringkat domestik, dasar monetari yang lebih ketat dan perubahan dalam kerajaan akan memberi kesan kepada permintaan domestik bagi ekonomi terbabit.

“Semua ekonomi ASEAN-5 dijangka mengalami kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi pada separuh kedua 2018, pada pendapat kami,” katanya dalam satu nota pagi ini.

Ia berkata, kenaikan harga minyak mentah dan pengukuhan pertumbuhan ekonomi pada 2017 menyaksikan tekanan inflasi menyusup naik di negara ASEAN-5 dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Bagaimanapun, ia tidaklah menjadi ancaman utama.

Kedudukan fiskal di Filipina, Thailand dan Indonesia dijangka merosot pada 2018, tetapi tidak ke tahap yang boleh menyebabkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Ini kerana kerajaan di negara terbabit melaksanakan inisiatif perbelanjaan infrastruktur bertujuan menggalakkan aktiviti ekonomi dalam negara masing-masing.

Di Malaysia, ia berkata sungguhpun menerima tekanan hebat ke atas kedudukan fiskalnya, Malaysia masih bertekad mengekalkan sasaran defisit fiskal.

“Ia satu langkah yang disambut baik bagi memastikan penarafan kreditnya kekal utuh,” katanya.

Bagaimanapun, ia berpandangan akaun semasa Malaysia diunjurkan mengecil, tetapi masih tetap boleh menampan buat masa ini.

“Kita berkemungkinan menyaksikan penyelarasan mata wang, khususnya bagi Indonesia dan Filipina, selain juga bagi Malaysia dan Thailand tetapi pada tahap yang lebih kecil.

“Indonesia, Filipina dan Malaysia masih ada ruang untuk menaikkan kadar faedah – sekiranya perlu – bagi menstabilkan kewangannya,” katanya.

scroll to top