Saturday , 16 December 2017

Home » Bisnes » Eksport Produk gaya hidup Dan Tekstil diunjur RM40 bilion

Eksport Produk gaya hidup Dan Tekstil diunjur RM40 bilion

October 13, 2017 6:57 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Eksport Produk gaya hidup Dan Tekstil diunjur  RM40 bilion

Abu Bakar Yusof

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis nilai eksport produk gaya hidup termasuk tekstil dan pakaian berkembang antara lima hingga 10 peratus tahun ini, dipacu oleh permintaan global dan kuasa beli pengguna yang semakin meningkat.

Pengarah Unit Gaya Hidup, Bahagian Perdagangan dan Promosi Perkhidmatan MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, bagi lapan bulan pertama tahun ini, eksport sektor itu meningkat sehingga lima peratus kepada RM26 bilion berbanding dua peratus pada tempoh sama tahun lalu.

“Jadi, kita positif sektor gaya hidup termasuk fesyen berada pada landasan kukuh untuk terus berkembang dengan mencatatkan nilai melebihi RM40 bilion tahun ini,” katanya pada sidang media sempena Minggu Fesyen Malaysia (MFW) 2017 di sini, hari ini.

MFW dianjurkan Stylo International Sdn Bhd selama lima hari bermula 18 Oktober bertemakan Art Beyond Fashion – The Capsule Collection.

Antara acara menarik sepanjang pameran itu adalah pameran Galeri My Tribute to Diana oleh pereka kasut terkenal, Datuk Prof Dr Jimmy Choo yang mempersembahkan koleksi kasut terakhir yang direka khas untuk mendiang Puteri Diana.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, pada tahun ini MFW menumpukan peluang perdagangan bagi pemain industri fesyen untuk keluar dari zon selesa.

“Pentas MFW menawarkan kepelbagaian keunikan latar belakang budaya masyarakat Malaysia dan sejak ditubuhkan empat tahun lalu ia terbukti berkesan sebagai platform mempromosikan fesyen Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Stylo International, Datuk Nancy Yeoh berkata Malaysia mempunyai kelebihan dari segi bakat muda yang lahir dari institusi pendidikan tinggi tempatan.

Katanya, graduan tempatan juga berpotensi diketengahkan ke pentas luar negara kerana mempunyai kelebihan berinteraksi dalam pelbagai bahasa berbanding negara jiran.

“Jadi kita perlu manfaatkan kelebihan ini untuk meneroka pasaran luar dan tidak hanya berharap kepada pasaran domestik yang sangat kecil,” katanya.

Tahun lalu, MFW merekodkan transaksi perniagaan bernilai RM212.78 juta.

Info

– Eksport industri tekstil, fesyen bernilai RM14b pada 2016

scroll to top