Friday , 17 August 2018

Home » Bisnes » Elantra 2.0 MPI Executive ada kelas

Elantra 2.0 MPI Executive ada kelas

July 20, 2018 8:45 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Elantra 2.0 MPI Executive ada kelas

Sedan Hyundai terap gaya lebih menonjol. - Foto Supian Ahmad

JIKA dahulu, sebut sahaja model keluaran Hyundai, ramai yang beranggapan reka bentuknya tidak selari dengan kehendak pasaran yang mahukan gaya lebih menonjol, terkini dan memenuhi keperluan semua kelas umur.

Cerita dahulu sudah pun berakhir di mana semua model keluaran daripada jenama Korea Selatan itu semakin mendapat tempat, malah golongan belia juga boleh berkira-kira untuk memandu Elantra.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan memandu uji Elantra 2.0 MPI Executive bagi merasai ‘nikmat’ sebenar memiliki sedan yang dikatakan terbaik dalam kelasnya di pasaran domestik.

Varian yang lebih kepada ‘kereta keluarga’ ini juga tidak mengecewakan walaupun didatangkan dengan kuasa enjin yang lebih rendah berbanding varian 1.6 Sport.

Menggunakan enjin Nu 2.0L MPi, janaan kuasa 152 PS pada 6,200 rpm, manakala tork 192 Nm pada 4,000 rpm sudah mencukupi untuk sedan ini apatah lagi ia sangat sesuai untuk kegunaan harian.

Model pandu uji varian ini lebih menarik dengan warna putih ‘solid’ yang menampakkan setiap susuk kereta, sudah pastinya mendapat perhatian ramai.

Penuhi cita rasa terkini

Walaupun saiz dan reka bentuk hampir sama dengan varian 1.6 Sport, masih terdapat perbezaan yang tidak ketara.

Varian Executive menerima gril hadapan dengan serlahan krom meliputi jalur sekeliling dan lampu kabus bersama kemasan perumahan berbentuk C.

Perbezaan ketara adalah lampu nyalaan siang yang terletak di dalam perumah utama selain penggunaan projektor halogen.

Bahagian belakang juga tidak dibekalkan dengan diffuser menjadikan varian ini mudah dikenali.

Ruang dalamannya berbeza dengan varian 1.6 Sport apabila balutan kerusi adalah gabungan suede dan kulit dengan serlahan benang merah.

Kemasan ini (suede) juga menghiasi panel pintu, manakala tombol gear dan stereng pelbagai fungsi dibaluti kulit bersama jahitan benang merah.

Sepanjang tempoh pandu uji, keselesaan dialami adalah terbaik dan sesuai untuk golongan eksekutif muda sebagai kenderaan berulang-alik ke pejabat atau menghadiri tugasan di luar kota.

Kualiti material digunakan untuk ruang dalaman ini tidak jauh bezanya dengan model dari Jepun atau Eropah.

Namun, sistem pendingin hawa manual dengan butang agak kecil dan jauh di sudut kiri papan pemuka menyukarkan penulis mencapainya.

Selesa untuk pemanduan harian

Penumpang belakang masih menerima corong pendingin hawa pada konsol tengah, manakala ruang barang perehat tangan menempatkan port USB untuk mengecas gajet.

Model ini juga menerima teknologi Sistem Kemasukan Pintar dengan butang penghidup enjin, cermin pandang belakang malap automatik, kamera undur selain sistem infotainmen dengan skrin sesentuh tujuh inci dan sambungan Bluetooth, CarPlay dan Android Auto.

Ciri keselamatan pula, semua varian hadir dengan ABS, ESC, HAC, BAS, VSM dan enam beg udara.

Menyingkap aspek prestasi, penulis tidak berkesempatan menguji jentera ini di lebuh raya, namun sudah pasti sistem gantungan ringkas McPherson pada roda hadapan dan Tubular Beam pada roda belakang tidak mungkin menyamai talaan pada varian 1.6 Sport.

Bagaimanapun, kedua-dua sistem ini menjalankan tugas dengan baik menyerap segala lekuk di jalan raya.

Kenderaan ini sesuai untuk keluarga kecil atau eksekutif muda yang mahukan kenderaan lebih praktikal, berkuasa dan lain daripada kebiasaan.

Elantra 2.0 MPI Executive dijual pada harga bermula RM109,888 (tanpa insurans), tujuh warna ditawarkan dengan tiga tahun atau 50,000 kilometer servis percuma.

Info:
Elantra 2.0 MPI Executive

Harga atas jalan tanpa insurans RM109,888 (sifar GST)

Enjin Nu 2.0L MPi

152 PS @ 6,200 rpm, tork 192 Nm @ 4,000 rpm

Sistem keselamatan : ABS, ESC, HAC, BAS, VSM dan enam beg udara

BH

scroll to top