Friday , 17 August 2018

Home » Nasional » Equanimity tidak dibuka untuk dilawati orang ramai – Dr Mahathir

Equanimity tidak dibuka untuk dilawati orang ramai – Dr Mahathir

August 11, 2018 3:24 pm Category: Nasional A+ / A-
Equanimity tidak dibuka untuk dilawati orang ramai – Dr Mahathir

PELABUHAN KLANG,. Kapal layar mewah, Equanimity, tidak akan dibuka kepada orang ramai untuk dilawati bagi mengekalkan nilai dan memelihara keadaan kapal itu, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kapal berkenaan akan dijual dengan secepat mungkin memandangkan kos penyelenggaraannya sahaja menelan belanja kira-kira RM2 juta sebulan.

“Kita perlu menjaga kapal layar itu supaya berkeadaan baik. Tetapi jika anda membenarkan beratus-ratus orang datang dan melihat kapal layar ini ia mungkin akan mengalami kerosakan dan memberi satu gambaran tidak baik.

“Pembeli mungkin tidak mahu membeli sebuah kapal yang dipamerkan sebegitu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di atas kapal itu, yang dianggar bernilai RM1 billion, yang kini berlabuh di Boustead Cruise Centre, di sini hari ini.

Kapal layar mewah itu, dipercayai mempunyai hubung kait dengan seorang ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, tiba di Malaysia pada 7 Ogos selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

– BERNAMA

scroll to top