Wednesday , 19 September 2018

Home » Bisnes » eVISA akan meningkatkan jumlah pelancong China – Duta

eVISA akan meningkatkan jumlah pelancong China – Duta

March 14, 2018 11:29 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
eVISA akan meningkatkan jumlah pelancong China – Duta

PUTRAJAYA,. Pelaksanaan eVISA oleh kerajaan Malaysia akan menyaksikan peningkatan ketara kedatangan pelancong China ke negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.

Beliau berkata eVISA membolehkan pelancong antarabangsa terutama dari China mendapatkan visa ke Malaysia dalam tempoh 48 jam secara atas talian tanpa perlu pergi ke pejabat kedutaan atau konsulat seperti amalan sebelum ini.

“Ini meletakkan Malaysia selangkah ke hadapan berbanding negara lain di Asia serta ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas melawat kemudahan Pusat Komunikasi eVISA (eVCOMM) serta melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Menurut Tian Malaysia mencatatkan kedatangan 2.6 juta pelancong dari China tahun lepas.

Beliau berkata program eVISA akan memainkan peranan yang baik dalam menyediakan kemudahan maksimum kepada pelancong China.

“Jadi kita dapat pastikan jumlahnya akan meningkat pada tahun-tahun akan datang , terutama dengan teknologi moden serta kecekapan dan prestasi profesional oleh pihak berkuasa imigresen Malaysia ,” tambah beliau.

Sementara itu, Mustafar berkata inisiatif mewujudkan eVCOMM telah memainkan peranan penting dalam memudahcara permohonan kelulusan eVISA selain memastikan kedatangan mereka dipantau dengan sebaik-baiknya.

Dalam masa sama, atase Imigresen di luar negara termasuk China juga telah memainkan peranan dalam melakukan promosi kepada pelancong, khususnya berkenaan kemudahan yang disediakan kerajaan kepada pelancong asing, katanya.

— BERNAMA

scroll to top