Monday , 24 September 2018

Home » Artikel Pilihan » Falcon Heavy ubah aeroangkasa

Falcon Heavy ubah aeroangkasa

February 16, 2018 9:58 am Category: Artikel Pilihan, Teknologi A+ / A-
Falcon Heavy ubah aeroangkasa

“SpaceX seakan-akan Pasukan Khas atau Special Forces yang kita melakukan perkara yang orang lain fikir mustahil. Kami mempunyai tujuan yang cita-citanya tinggi tetapi akan menjadikannya kenyataan, kami mempunyai potensi di SpaceX yang mampu memberi kesan luar biasa kepada masa depan manusia dan kehidupan.”

Itu petikan kata-kata Elon Musk sebelum pelancaran Falcon Heavy ke ruang angkasa, baru-baru ini.

Pelancaran terbabit sangat signifikan kepada kehidupan manusia pada masa depan apabila kita menjadikan bumi sebagai planet untuk menghirup udara untuk kekal bernyawa.

Penulis buku Sainslah, Hafez Murtza dalam tulisannya berkata, pada 6 Februari lalu, tapak pelancaran 39A Kennedy Space Centre Florida, Amerika Syarikat mengulangi sejarah yang melonjakkan teknologi angkasa.
emusk04.jpg_1518667478
“Di tapak yang sama 48 tahun lalu, NASA menghantar manusia ke bulan dengan roket Saturn 5 dan kali ini (6 Februari), tapak yang sama bergegar dengan ngauman dan asap roket.

“Roket setinggi bangunan 20 tingkat diberi nama roket Falcon Heavy menjadi roket paling berkuasa di dunia, mengatasi rekod terdahulu yang dipegang roket Saturn 5 menghantar manusia ke bulan milik NASA,” katanya.

Menurutnya, roket Falcon Heavy berjaya menjalani ujian terbang ke angkasa dan mendaratkan roket penggalak kembali (booster) ke bumi.

“Falcon Heavy dibangunkan SpaceX bertujuan membawa muatan berat ke angkasa termasuk teknologi penjelajahan manusia ke bulan dan Marikh terdiri daripada tiga roket Falcon 9 bersama sembilan enjin Merlin pada setiap satu roket dengan jumlah 27 enjin semuanya,” terangnya.
emusk03.jpg_1518667475
Kuasa tujah teknologi tiga roket digabungkan secara selari ini seperti kuasa 18 pesawat Boeing 747.

“Roket teras berada di tengah-tengah dengan muatan kereta Tesla Roadster warna merah milik Elon Musk sendiri di puncaknya manakala sisinya diapit dua roket penggalak kiri kanan yang akan menambah kuasa tujahan untuk membawa muatan berat sesuai dengan namanya Falcon Heavy,” kata Hafez.

Ulasnya, ia mampu membawa muatan 68 metrik tan berat melebihi jumlah keseluruhan penumpang, bagasi dan petrol bagi pesawat kapal terbang Boeing 737 Jetliner, meninggalkan jauh roket pesaingnya Delta IV Heavy yang hanya mampu membawa 29 metrik tan.

“Untuk ujian pelancaran ini, Falcon Heavy menggunakan dua roket penggalak yang diguna semula daripada dua misi berlainan.

Penggunaan teknologi booster lancar roket yang lebih hebat daripada pesawat Boeing.

Penggunaan teknologi booster lancar roket yang lebih hebat daripada pesawat Boeing.

“Salah satunya melancarkan satelit Thaicom 8 pada Mei 2016 dan yang satu lagi roket misi CRS-9 diterbangkan pada Julai 2016,” kata Hafez.

Roket Falcon Heavy berjaya dilancarkan selepas ditangguh beberapa jam atas faktor angin kuat.

Dalam video yang menyiarkan pelancaran terbabit secara langsung, anda boleh menonton orang ramai bersorak tanpa henti sebaik roket menuju ke angkasa.

“Hasil ciptaan teknologi yang menakjubkan itu membelah langit dan pada minit ke 2:39 ketika video pelancaran berlangsung apabila kedua-dua roket penggalak terbabit dipisahkan daripada roket teras, berpatah balik masuk semula ke atmosfera bumi serta mendarat serentak dengan selamatnya di kawasan pendaratan LZ1 dan LZ2 tidak jauh daripada tapak pelancaran,” kata Hafez.

Menurutnya, ia kelihatan sama seperti yang digambarkan dalam animasi manakala roket teras sepatutnya mendarat di kapal dron ‘Of Course I still Love You’ yang ditempatkan di Lautan Atlantik. Namun nasibnya tidaklah baik kerana ia kekurangan bahan api untuk memperlahankan kelajuannya lalu menghentam kapal dron terbabit.

Jika dulu ia kerap gagal, kini booster boleh kembali.

Jika dulu ia kerap gagal, kini booster boleh kembali.

Hafez memaklumkan, meskipun nampak mudah, mendaratkan roket tepat pada sasaran sukar dilakukan.

“Anda boleh cuba sendiri, dengan dapatkan penyapu atau tongkat panjang kemudian berdiri di kawasan lapang dan cuba berjalan sambil menyeimbangkan penyapu dengan meletakkan hujung penyapu di tapak tangan anda.

“Apa terjadi jika anda berhenti berjalan? Anda mungkin berjaya menyelamatkan penyapu daripada terjatuh tapi anda masih perlu berjalan,” katanya.

Sama seperti roket penggalak atau Falcon 9 yang anda perlu berhenti berjalan dan penyapu perlu kekal tidak jatuh.

“Begitulah kecanggihan teknologi pendaratan roket kitar semula semestinya memerlukan koordinasi tepat membabitkan kefahaman mengenai fizik, teknologi enjin roket, aerodinamik yang sesuai, kekuatan teknologi bahan, ribuan baris pengaturcaraan komputer dan kiraan matematik,” katanya.

Menurutnya, setiap unit perlu selaras dan bertindak dengan pantas.

“Perkara ini dahulunya dianggap mustahil hinggalah Elon Musk dan SpaceX sendiri membuktikannya,” katanya.

Sebelum ini, Elon Musk sudah membayangkan kesukarannya namun ia cabaran mendaratkan roket Falcon 9 apatah lagi bukan satu tetapi tiga set roket yang ‘diiikat’ bersama.

FormatFactoryemusk01.jpg_1518667469
“Beban berubah, aerodinamik benar-benar berubah, tiga kali ganda getaran dan akustik, jumlah beban yang diletakkan melalui teras roket itu adalah luar daripada pemikiran.

“Kami perlu mengubah reka bentuk teras keseluruhan roket, ia tidak seperti Falcon 9 kerana ia tidak dapat menampung banyak beban. Sistem pemisah roket penggalak terakhir sebenarnya lebih sukar daripada yang kita fikirkan,” kata Musk.

Kini, Hafez berkata, kereta merah Tesla Roadster milik Elon Musk bersama pemandunya yang diberi nama Starman sedang meluncur laju dan mengikut orbit eliptik sehinggalah mendekati orbit Marikh dan kemungkinan melangkauinya.

“Lihatlah gambar dan video yang diambil memperlihatkan Maha Suci Tuhan yang menciptakan, terlihat indahnya lengkungan bumi satu-satunya tempat tinggal manusia yang berakal buat masa ini bakal berubah hasil teknologi,” katanya.

Pelancaran ini menjadi fenomena antarabangsa yang dinantikan sejak 2011 selepas pengumuman Elon Musk.

Falcon Heavy sepatutnya dilancarkan pada 2013 atau 2014, namun ditunda kerana faktor teknikal.

Hafez membayangkan, ramai yang datang ke Florida semata-mata mahu melihat sendiri sejarah dan merasai pengalaman getaran kuasa teknologi roket dan mendengar letusan enam sonik boom (bunyi yang dihasilkan apabila objek merentasi ruang udara melebihi kelajuan bunyi).

“Malah tayangan secara langsung di YouTube menjadikannya sebagai kedua teramai di dunia dengan jumlah 2.3 juta penonton serentak.

“Cuma kita mungkin terlepas kerana ia pada jam 4.45 pagi waktu Malaysia,” katanya.

Kejayaan Elon Musk menerbangkan roket Falcon Heavy menjadi loncatan bagi industri teknologi angkasa.

Proses mendemokrasikan ruang angkasa melangkah ke depan dengan kejayaan syarikat swasta mempelopori penjimatan kos ke angkasa.

“Murah tapi kos masih juta-juta, bagaimanapun ia batu loncatan kerana satu hari nanti kita akan melihat manusia menjejakkan kaki lagi di bulan dan membina penempatan baru di sempadan angkasa sana,” katanya.

Apakah impaknya kepada rakyat Malaysia khususnya?

Misi Elon Musk ini membuka jalan bagi ilmu pengetahuan terutama dalam teknologi angkasa dan ia bukan saja membabitkan satu bidang semata-mata.

Berdasarkan banyak sumber ilmu yang diperoleh di Internet, rakyat negara ini perlu mencari jalan untuk memanfaatkan teknologi bagi berfikir dan mencipta sesuatu yang belum pernah kita teroka sebelum ini.

Tidak mustahil, jika Elon Musk pun berjaya, berfikiran luar kotak mampu memberi impak merubah kehidupan berlandaskan teknologi.

Bagaimana pula dengan kehidupan manusia di planet lain? Mungkin masih jauh cita-cita terbabit tetapi tidak mustahil bandar yang benar-benar pintar sebenarnya mungkin bukan di bumi.

scroll to top