Sunday , 24 June 2018

Home » Nasional » Faris dapat RM200,000 bedah hati di China

Faris dapat RM200,000 bedah hati di China

March 13, 2018 4:25 pm Category: Nasional A+ / A-
Faris dapat RM200,000 bedah hati di China

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyerahkan cek bernilai RM200,000 kepada Siti Rokiah Abd Wahab ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR,. Penderitaan bayi lelaki, Faris Wafiuddin Faris Irwan berusia 10 bulan, yang menghidap penyakit kegagalan hati, diringankan melalui sumbangan RM200,000 daripada Tabung Darul Iman.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya terpanggil bagi menampung kos pembedahan hati bayi malang berkenaan berjumlah RM250,000 di Hospital Renjin, Shanghai, China.

“Setiap tahun kita membelanjakan hampir RM1 juta untuk membantu rakyat Terengganu tidak berkemampuan yang mengalami masalah kesihatan.

“Selepas dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Perangan, kita bersetuju membantu Faris Wafiuddin yang memerlukan pembedahan segera bagi merawat penyakitnya,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, hari ini.

Ahmad Razif turut menyerahkan cek bernilai RM200,000 kepada ibu bayi berkenaan, Siti Rokiah Abd Wahab, 39, yang bakal menemani anak bongsunya itu ke Shanghai nanti.

Beliau berkata, bantuan berkenaan tidak terhenti di situ saja, sebaliknya pihaknya akan memantau perbelanjaan Faris Wafiuddin ketika berada di Shanghai nanti.

“Kita tidak mahu ada perkara yang boleh membebankan keluarga pesakit ketika berada di Shanghai nanti termasuk perbelanjaan harian keluarga yang menemani,” katanya.

Sementara itu, Siti Rokiah berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyumbang bagi memenuhkan kos pembedahan anak bongsunya itu ke Shanghai tidak lama lagi.

“Hanya Allah SWT dapat membalas jasa semua pihak terbabit sama ada berbentuk doa dan wang ringgit bagi meringankan beban kami sekeluarga.

“Semoga bantuan Kerajaan Terengganu dan seluruh rakyat Malaysia ini dapat mengubati penyakit anak yang semakin serius,” katanya.

scroll to top