Friday , 17 August 2018

Home » Bisnes » Fasa kedua kenaikan tarif kontena ditangguh

Fasa kedua kenaikan tarif kontena ditangguh

August 11, 2018 11:02 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Fasa kedua kenaikan tarif kontena ditangguh

PUTRAJAYA: Fasa kedua kenaikan tarif kontena di Pelabuhan Klang akan ditangguh kepada 1 Mac tahun depan daripada 1 September tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata kementerian bersetuju terhadap penangguhan berkenaan untuk memberi lebih banyak masa kepada pengguna pelabuhan dan pemain industri lain untuk menyesuai dan menstabilkan perniagaan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan semula pada 1 September.

“Penangguhan ini adalah petunjuk jelas mengenai komitmen kerajaan untuk meringankan beban rakyat selain mengambil kira impak pelaksanaan SST,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kajian semula tarif kontena Pelabuhan Klang dibuat menerusi Undang-Undang Kecil 2015 (Skala Kadar, Denda dan Caj) (Pindaan), di mana kenaikan caj tarif sebanyak 30 peratus akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Menurutnya, fasa pertama kenaikan tarif 15 peratus itu telah dilaksana pada 1 November 2015, dengan fasa kedua kenaikan tarif 15 peratus yang dijadualkan pada 1 Sept tahun ini, tiga tahun selepas pelaksanaan pertama.

Peningkatan tarif kontena telah dimaklumkan kepada semua pengguna pelabuhan dan pemain industri melalui pekeliling Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang pada Ogos 2015.

Kenaikan secara berperingkat itu bertujuan memberi masa mencukupi kepada pengguna pelabuhan untuk merancang perbelanjaan perniagaan mereka di sepanjang rantaian bekalan, tambahnya.

Loke berkata, Lembaga Pelabuhan Klang dan pengendali terminal, Northport dan Westports, akan meneruskan usaha mempertingkatkan tahap perkhidmatan dan prestasi pelabuhan dengan terus membangunkan kemudahannya yang dipacu bekalan.

– BERNAMA

scroll to top