Thursday , 18 October 2018

Home » Bisnes » GAMUDA Cove nukleus selatan Lembah Klang

GAMUDA Cove nukleus selatan Lembah Klang

September 22, 2018 8:56 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
GAMUDA Cove nukleus selatan Lembah Klang

GAMUDA Land meneruskan kecemerlangannya dalam membangunkan projek perbandaran dengan melancarkan satu lagi projek berprestij, ‘Gamuda Cove’ dengan nilai anggaran kasar (GDV) berjumlah RM20 bilion.

Projek perbandaran baharu itu dibangunkan di atas tanah seluas 620 hektar di Selangor yang terletak bersebelahan dengan Paya Indah Wetland dan hutan simpan utara Kuala Langat dan Cyberjaya.

Projek pembangunan itu akan merangkumi pembinaan komponen residensi dan komersial dan bakal menjadi penanda aras baharu bagi projek pembangunan di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Projek Gamuda Land, Aw Sei Cheh, berkata projek itu akan mengambil masa selama 20 tahun untuk dibangunkan sepenuhnya dengan pelan induknya direka dengan menitikberatkan ciri-ciri sanktuari semula jadi, bandar raya masa depan dengan elemen lestari pintar.
FormatFactoryGAMUDA_COVE22_1537577040
Antara ciri tarikan utama perbandaran itu katanya, ialah pembinaan sebuah Taman Sentral seluas 24.3 hektar yang akan dikelilingi oleh tasik yang sesuai untuk dijadikan sebagai tempat berkumpul, beraktiviti, beriadah, berkelah dan bermain.

“Taman ini mempunyai bukan hanya satu, tetapi tiga tasik. Ia juga dikelilingi laluan untuk berjalan, berjoging atau berbasikal sepanjang lima kilometer selain turut dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak. Taman ini dijangka siap serentak dengan pembinaan fasa pertama,” katanya.

Tarikan lain projek itu katanya, ialah pembinaan Discovery Park seluas 20.2 hektar yang akan terbahagi kepada tiga zon rekreasi iaitu ‘Adventure Park’ sukan ekstrim; kemudahan sukan bertaraf antarabangsa dan ‘Hangout Village’ yang membolehkan penduduk menikmati suasana hab sosial yang unik di situ.

“Apabila taman ini mula beroperasi pada tahun depan, kami yakin Discovery Park di Gamuda Cove ini akan menjadi destinasi tumpuan utama pelancong tempatan dan antarabangsa,” kata Sei Cheh.

Kehijauan alam semula jadi Mengulas mengenai pembinaan kediaman itu, Sei Cheh menjelaskan, ia dijangka akan mula dibina dalam tempoh tahun kewangannya.

“Sebanyak 2,000 unit kediaman akan dibina dalam masa terdekat ini. Bagi rumah teres dengan keluasan 20×70 kaki persegi (kps), harga indikatifnya ialah dari RM680,000, manakala apartmen servis pula, harga indikatifnya ialah dari RM350,000 untuk unit berkeluasan 530 kps,” katanya.

Sejak mula diuar-uarkan pada April lalu, syarikat sudah menerima pertanyaan daripada lebih 10,000 pelanggan yang menunjukkan minat untuk membeli unit kediaman projek berkenaan.

Bercerita lebih lanjut mengenai Gamuda Cove, Sei Cheh berkata, projek itu akan dibangunkan dengan memanfaatkan sepenuhnya kekayaan alam semula jadi di kawasan itu.

Syarikat juga memperuntukkan 101 hektar atau 16 peratus daripada keseluruhan keluasan perbandaran itu untuk kawasan hijau dan berair.

Langkah itu katanya, sejajar dengan temanya ‘Nature Sanctuary, Future City’ dan pihaknya mengambil masa selama enam bulan untuk melakukan audit saintifik oleh badan bukan kerajaan (NG) dan profesional bagi memastikan flora dan fauna di sekeliling tidak terjejas malahan terus mekar bersama-sama dengan pembangunan di kawasan sekelilingnya.

Selain kehijauan alam semula jadi, tarikan lain di Gamuda Cove ialah pembinaan taman tema pertama milik pemaju itu yang akan dibangunkan di perbandaran berkenaan yang dijangka siap pada tahun 2022.

Dari segi kemudahan akses, Gamuda Land juga merancang untuk menghubungkan pusat perniagaannya (CBD) dengan kemudahan tram sekali gus menjadikannya antara pemaju terawal mengaplikasikan pengangkutan awam sedemikian di dalam sebuah perbandaran di Malaysia.

Jaringan perhubungan “Untuk peringkat awal, laluan tram akan dibina di CBD terlebih dulu sebelum ditambah secara berperingkat pada masa depan. Kemudahan ini juga adalah percuma untuk penduduk.

“Perbandaran ini juga dilengkapi jaringan perhubungan yang baik menerusi Lebuhraya Elite sebagai sambungan utama.

Sambungan terus kepada perbandaran ini dengan Lebuhraya Elite yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan sekali gus menjadikan laluan keluar masuk lebih mudah dan menjimatkan masa.

“Ia turut disokong jaringan lebuh raya lain dengan hanya 15 minit pemanduan antaranya dari, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ,Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya MEX (Maju Expressway).

“Selain itu, terdapat sambungan terus kepada perbandaran ini dengan Lebuhraya Elite yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan sekali gus menjadikan laluan keluar masuk lebih mudah dan menjimatkan masa,” katanya.

Bagi pelanggan yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai projek ini, boleh lawati galeri jualannya di Jalan USJ 10/1, Taipan Busines Centre, di Subang Jaya bermula esok dan projek ini dijangka dilancarkan secara rasmi dalam tempoh dua bulan akan datang.

Kemudahan

Dilengkapi tram di dalam CBD

Bas perantara menghubungkan Gamuda Cove dengan destinasi sekeliling seperti KLIA, KLIA2 dan stesen Putrajaya Sentral

Laluan joging sepanjang lima km

Sistem trafik pintar

Merangkumi lima daerah utama iaitu Pusat Perdagangan; Taman Tema & Discovery Park; Pusat Kesihatan; Penyelidikan & Institusi; dan Kebudayaan

Ameniti

Lokasi rekreasi seperti Paya Indah Wetlands, Mitsui Outlet Park dan Taman Wetlands Putrajaya
Pusat pendidikan seperti Universiti Xiamen, Universiti Lim Kok Wing, Sekolah
Antarabangsa ELC dan Universiti Multimedia

Kemudahan Akses

Lebuhraya Elite

Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya

Lebuhraya SKVE

Lebuhraya MEX

Lebuhraya PLUS

Lebuhraya Shah Alam (KESAS)

Lebuhraya Damansara Puchong

Lebuhraya Pantai Barat

scroll to top