Saturday , 23 June 2018

Home » Bisnes » Geely jadi pemegang saham terbesar AB Volvo

Geely jadi pemegang saham terbesar AB Volvo

December 28, 2017 1:12 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Geely jadi pemegang saham terbesar AB Volvo

STOCKHOLM,. Pengeluar kenderaan dari China, Geely yang sudah memiliki jenama kereta dari Sweden, Volvo kini menjadi pemegang saham terbesar dalam AB Volvo dalam satu transaksi bernilai 2.7 bilion euro (RM13.11 bilion).

AB Volvo adalah pengeluar trak kedua terbesar di dunia. Dalam satu kenyataan, Geely berkata, ia sudah memeterai perjanjian dengan pengurus dana aktivis terbesar di Eropah, Cevian Capital untuk mengambil alih keseluruhan 8.2 peratus pegangan modal saham dan 15.6 peratus hak mengundi dalam AB Volvo.

Maklumat kewangan lanjut tidak didedahkan tetapi berdasarkan harga semasa saham AB Volvo, transaksi berkenaan bernilai sekitar 27 bilion kronor Sweden.

“Geely Holdings komited untuk membeli 88.47 juta saham A dalam Cevian dan 78.77 juta saham B dalam AB Volvo.

“Selepas dimuktamadkan dan menerima kelulusan perundangan yang sepatutnya, Geely Holding akan menjadi pemegang modal saham terbesar AB Volvo,” menurut kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, pihak berkepentingan terbesar dalam aspek hak undian masih milik dana pelaburan Sweden, Industrivarden yang memiliki saham dengan hak mengundi sebanyak 21.8 peratus.

Ia juga menguasai kepentingan modal sebanyak 6.7 peratus.

Pengerusi Geely Holding, Li Shufu, berkata kumpulan automotif Cina itu juga gembira menjadi pemegang modal saham terbesar dalam syarikat yang mengetuai pembangunan kenderaan komersial, pengeluaran dan jualan di dunia.

Volvo yang ditubuhkan pada 1927 menjual perniagaan keretanya kepada gergasi auto Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1999 untuk memberi tumpuan kepada perniagaan kenderaan komersial.

-AFP

scroll to top