Sunday , 24 June 2018

Home » Dewan Rakyat » Giat selamatkan hutan Cameron Highlands

Giat selamatkan hutan Cameron Highlands

March 14, 2018 4:08 pm Category: Dewan Rakyat, Nasional A+ / A-
Giat selamatkan hutan Cameron Highlands

Datuk Hamim Samuri

KUALA LUMPUR,. Usaha pemulihan kawasan hutan tanah tinggi yang diterokai secara berleluasa di Cameron Highlands bagi tujuan pertanian ketika ini giat dijalankan.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri, berkata kawasan terjejas berikutan sifat rakus peneroka itu merangkumi keluasan 570 hektar.

Katanya, usaha dirintis Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) untuk melaksanakan program penanaman semula setakat ini berupaya memulihkan kawasan seluas 150 hektar.

“JPSM diamanahkan menanam semula pokok pelbagai spesies, termasuk meranti bukit bagi memulihkan semula kawasan berkenaan dan mengembalikan ekosistemnya.

“Maknanya, proses pelaksanaan program ini hampir 26 peratus daripada kawasan terjejas dan kita yakin ia berupaya dipulihkan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Makin Mojigoh (BN-Putatan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Makin meminta perincian mengenai usaha kerajaan terhadap kawasan di lereng bukit yang terjejas ekoran penerokaan hutan secara berleluasa untuk pelbagai tujuan.

Menjawab soalan tambahan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat) mengenai keperluan mempertingkatkan peruntukan perundangan kementerian, Hamim berkata, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi Majlis Tanah Negara.

Selain itu, katanya, beberapa akta baharu dalam proses penggubalan, merangkumi perundangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JPSM.

“Antaranya, Akta Perhutanan Negara 1984 yang perlu ditingkatkan, sekadar menyentuh perihal hukuman dan penalti, sebaliknya membabitkan perkara lain supaya kuasa tertentu diberikan kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri,” katanya.

scroll to top