Wednesday , 24 July 2019

Home » Nasional » Gobind mahu pastikan RTM saluran TV dan radio pilihan pertama rakyat

Gobind mahu pastikan RTM saluran TV dan radio pilihan pertama rakyat

April 1, 2019 3:09 pm Category: Nasional, Teknologi A+ / A-
Gobind mahu pastikan RTM saluran TV dan radio pilihan pertama rakyat

KUALA LUMPUR,. Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata beliau akan memastikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh melangkah ke hadapan dan sentiasa menjadi saluran televisyen dan radio pilihan pertama rakyat Malaysia.

Katanya beliau akan tetap membantu RTM untuk terus kekal dan relevan pada ketika wujudnya teknologi baharu dan persaingan hebat.

Beliau berkata sebagai stesen penyiaran negara, RTM merupakan sebuah institusi yang harus dikekalkan sungguhpun terdapat pihak yang berpendapat bahawa tidak perlu meneruskan stesen itu.

“Ada pihak di luar yang hantar pesanan kepada saya, yang menyatakan bahawa kemungkinan tidak perlu untuk kita teruskan dengan RTM dan saya tegaskan ‘No way! RTM is an institution’.

“Selepas 73 tahun kita masih relevan dan kukuh, kerana warga RTM masih kukuh. Anda merupakan hati dan jiwa RTM. Teruskan apa yang kita boleh laksanakan kepada dunia. Buktikan bahawa kita boleh hadapi cabaran ini,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari RTM ke-73 dan Pelancaran Saluran Percubaan Berita stesen itu, di Angkasapuri, di sini hari ini.

Gobind berkata pencapaian perkhidmatan RTM lebih daripada tujuh dekad adalah mengkagumkan dan membanggakan.

Katanya sebagai organisasi penyiaran yang profesional dan matang, RTM sentiasa mempamerkan keputusan yang berasaskan pengalaman yang telah ditimba, selain patuh kepada undang-undang, peraturan dan prosedur yang sedia ada.

“Sebagai sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), RTM menyokong apa jua dasar kerajaan di samping memperkenal dan menjelaskannya melalui program-program radio dan televisyen kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata RTM sedang dalam proses peralihan siaran daripada analog kepada digital sejak 2004 dan siaran televisyen akan beroperasi sepenuhnya dalam siaran digital secara High Definition (HD) dan Standard Definition (SD) tidak lama lagi.

Menurutnya, bermula sebagai saluran radio pada 1 April 1946, RTM telah mengembangkan perkhidmatannya menjadi 33 saluran radio yang bersifat nasional, negeri dan tempatan, dengan tidak mengetepikan mana-mana segmen audiens dalam masyarakat.

Demi memastikan RTM tidak ketinggalan, Gobind berkata stesen itu sedang melaksanakan pelan transformasinya dari segi perkhidmatan siaran dan program serta mengukuhkan budaya kerja agar selari dengan budaya kerja dinamik era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang menekan aspek digital.

Jelasnya, kementerian itu sendiri dalam persediaan membantu menyediakan sesi latihan untuk kesiapsiagaan warga kerja RTM menghadapi IR 4.0 dan RTM Digital.

“Dalam kita membincangkan perkara teknologi dan perkembangan penyiaran semasa, kita juga tidak boleh melupakan ‘stakeholder’ utama dalam organisasi ini iaitu modal insan atau warga RTM. RTM dan KKMM sering berbincang dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) untuk mengkaji kaedah-kaedah sesuai bagi meningkatkan lagi kemajuan kerjaya warga RTM,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata kerjasama strategik juga dibincangkan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan RTM, dengan sinergi bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Jabatan Penerangan (JaPen) diwujudkan demi mengukuhkan penyampaian maklumat melalui media sosial dengan tepat dan efektif.

Beliau turut menegaskan bahawa RTM wajib menyampaikan maklumat yang sah dan sahih sahaja kerana masyarakat sentiasa menanti maklumat yang sahih daripada kerajaan melalui stesen berita itu.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Abdul Muis Shefii.

Majlis itu turut memperkenalkan wajah baharu NASIONALfm, Sentiasa Di Hati, dengan sasaran pendengar berusia 18 hingga 50 tahun, dan penampilan yang lebih segar dengan pelbagai pengisian yang mampu memenuhi kehendak pendengar.

— BERNAMA

scroll to top