Monday , 16 July 2018

Home » Bisnes » Golf Mk7.5 facelift masuk pasaran

Golf Mk7.5 facelift masuk pasaran

April 17, 2018 2:52 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Golf Mk7.5 facelift masuk pasaran

Volkswagen Golf

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM), baru-baru ini memperkenalkan barisan model Volkswagen Golf Mk7.5 facelift yang ditawarkan menerusi empat varian untuk pasaran tempatan.

Empat varian terbabit ialah Golf Sportline, Golf R-Line, Golf GTI serta Golf R.

Bagi varian Sportline dan R-Line, ia dikuasakan enjin 1.45 TSI turbocharge yang dipadankan dengan kotak gear anjakan terus (DSG) klac kering 7-kelajuan yang membolehkan jentera berkenaan menghasilkan kuasa 150 PS dan tork 250Nm antara 1,500 hingga 3,500 rpm.

Reka bentuk luaran baharu

Facelift bagi varian ini merangkumi bamper depannya yang didatangkan gril radiator yang lebih lebar dan saluran udara pada apron depan.

Golf Sportline dilengkapi lampu utama halogen, manakala Golf R-Line didatangkan lampu utama LED.

Selain itu, Golf R-Line juga didatangkan tempat duduk balutan kulit Vienna, roda aloi Singapura 17 inci, Paparan Info Aktif serta lampu utama LED.

Golf GTI pula didatangkan enjin 2.0TSI turbocharge yang dipadankan DSG klac basah 6-kelajuan yang membolehkan ia menghasilkan kuasa sehingga 250PS dengan tork 350Nm antara 1,500 hingga 4,600 rpm.

Lampu dinamik

Perubahan pada bahagian luarannya termasuk bamper depan baharu dan dilengkapi lampu utama Advance Adaptive LED, menggantikan lampu b-xenon, yang juga disertakan fungsi bantuan lampu dinamik.

Selain itu, ia juga dilengkapkan dengan lampu belakang LED penuh dan lampu isyarat membelok dinamik.

Model ini juga didatangkan tempat duduk balutan kulit Vienna, rim aloi 18 inci Milton Keynes, Adaptive Chassis Control (DCC) dengan pilihan mod pemanduan serta paparan Aktif Info bersaiz 12.3 inci.

Malah, ia turut mempunyai sistem infotainmen dengan skrin utama lapan inci yang dilengkapi Bluetooth, slot kad SD, USB, AUX, sistem navigasi serta kamera belakang untuk bantuan parkir.

Seperti varian Sportsline, Golf GTI 2018 dilengkapi tujuh beg udara Sistem Proactive Occupant Protection dan ESC, iaitu sistem untuk melindungi penumpang sekiranya ia mengesan potensi kemalangan.

Gaya lebih sporty

Bagi varian yang paling berkuasa, Golf R tampil dengan enjin 2.0TSI turbocharge baharu dengan padanan DSG klac basah 7-kelajuan.

Ia sekali gus mampu menghasilkan kuasa sehingga 290PS dan tork 380Nm antara 2,000 hingga 5,400 rpm yang disumbangkan menerusi sistem panduan semua roda 4MOTION.

Hasilnya, ia mampu mencapai kelajuan maksimum 250 kilometer sejam (km/j) yang dihadkan secara elektrik serta mencatat pecutan 0 hingga 100 km/h hanya 5.1 saat.

Pembaharuan bagi Golf R 2018 merangkumi penggayaan semula pada bahagian depannya seperti bamper baharu, reka bentuk gril dan lampu utama LED Advanced Adaptive bantuan lampu dinamik.

Selain itu, ia juga dipasangkan lampu belakang LED serta rim aloi 19 inci Pretoria Black dan profil tayar 235/35.

Di bahagian dalamannya, Golf R didatangkan tempat duduk balutan kulit Vienna R, dan stereng sports R dengan paddle shifters, dan pedal tahan karat.

Facelift Golf R juga didatangkan DCC, sistem Air Care dual-zone climatronic, Paparan Aktif Info 12.3 inci, sistem infotainmen dan sistem audio lapan speaker, 10 gigabait (gb) jukebox serta ciri kesalinghubungan App-Connect serta kamera belakang.

Golf Sportline dijual pada harga RM155,990, R-Line (RM169,990), GTI (RM239,990) dan RM295,990 bagi Golf R.

Menurut VPCM, pratempahan kini dibuka di semua pengedar Volkswagen seluruh negara.

INFO

Harga: Golf Sportline (RM155,990), Golf R-Line (RM169,990), Golf GTI (RM239,990), Golf R (RM295,990)

scroll to top