Wednesday , 24 July 2019

Home » Nasional » Graduan Dasar Pandang Ke Timur beraspirasi pacu Malaysia kepada industri 4.0

Graduan Dasar Pandang Ke Timur beraspirasi pacu Malaysia kepada industri 4.0

March 26, 2019 12:54 pm Category: Nasional A+ / A-
Graduan Dasar Pandang Ke Timur beraspirasi pacu Malaysia kepada industri 4.0

KUALA LUMPUR,. Graduan Malaysia daripada universiti Jepun di bawah Dasar Pandang Ke Timur negara yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1982 beraspirasi untuk menggerakkan negara kepada teknologi abad ke-21 selari dengan Industri 4.0.

Bersempena ulang tahun ke-30 Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur (ALEPS), mereka baru sahaja menerbitkan buku untuk memaparkan kisah kejayaan 50 graduan berkenaan.

Datuk Zulkifli Abdul Malek, yang merupakan presiden pertama ALEPS dari 1994 hingga 2002, berkata 50 individu yang dipaparkan dalam buku itu serta graduan lain kini sudah bersedia sepenuhnya untuk membantu kerajaan dalam memasuki gelombang pertumbuhan kedua Dasar Pandang Ke-Timur atau LEP2.

“Kepakaran yang ada pada kami adalah pelbagai daripada teknologi kepada elektronik, termasuk komputer mega. Kami berada di sini untuk menyumbang kembali kepada negara dan walaupun kami hanya memilih 50 individu untuk dijadikan contoh, sebenarnya terdapat banyak lagi yang bersedia untuk membalas jasa baik kerajaan kepada kami.

“Bagi pihak mereka, saya amat berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana mengilhamkan Dasar Pandang Ke Timur kerana tanpa beliau, kami tidak berada di sini, hari ini,” katanya kepada Bernama.

Zulkifli berkata dasar itu pada awalnya bertujuan untuk memenuhi keperluan industri ketika itu dengan mengambil kira bahawa apabila pelabur dari Jepun, Korea Selatan dan Taiwan datang ke Malaysia, satu daripada kebimbangan utama mereka adalah sumber manusia.

Ini telah menghasilkan kumpulan pelatih perintis yang diambil kebanyakannya daripada kalangan jurutera untuk memenuhi keperluan industri Jepun.

“Kini fungsi ALEPS bukan hanya sebagai platform untuk menyediakan tenaga kerja terlatih untuk industri tetapi kami telah melebarkan sayap kami ke bidang lain seperti pentadbiran awam, politik dan pembangunan sosial.

“Sebelum ini, semua graduan LEP kembali kepada industri tetapi kini mereka lebih kepada sektor kerajaan dan institusi pendidikan,” katanya.

Bagi peranannya dalam membangunkan jaringan antara ALEPS dan organisasi serta syarikat berkaitan Jepun, Zulkifli, yang merupakan antara pelajar kumpulan pertama dihantar ke Jepun, baru-baru ini dipilih sebagai penerima anugerah Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rossete oleh kerajaan Jepun.

Katanya hubungan yang sekian lama dijalin beliau dengan pelbagai institusi Jepun telah meyakinkan beliau bahawa Jepun komited untuk membantu Malaysia memenuhi keperluan industri terutama dalam bidang antara lain pembelajaran, latihan dan program berkembar.

Seorang lagi graduan, Mohd Yuzairin Md Yunus, berkata semasa beliau kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajian, beliau telah menubuhkan syarikat Akar Indah Engineering Sdn Bhd, untuk melatih pekerja teknikal berdasarkan etika kerja Jepun.

Pada masa yang sama, mereka digalakkan untuk menubuhkan syarikat sendiri.

Mohd Yuzairin, yang juga CEO Akar Indah, berkata kumpulan itu kini sudah mempunyai enam syarikat terlibat dalam operasi teknologi tinggi, termasuk untuk Industri 4.0 seperti robotik automatik dan sistem integrasi.

“Awalnya kami bermula di Malaysia tetapi selepas itu kami telah berkembang ke Singapura dan akhir-akhir ini malah ke Sudan,” katanya.

Yuzairin berkata oleh kerana Malaysia mula memasuki bidang perindustrian pada 1980-an, kebanyakan alat jentera kini sudah berusia, yang juga bermakna negara masih dalam acuan Industri 2.0 .

“Untuk memacu memasuki tahap Industri 4.0, kami perlukan lebih banyak golongan muda yang berani untuk menceburi bidang teknologi terkini yang sebenarnya boleh didapati di dalam negara.

“Adalah tidak mustahil untuk kita bergerak memasuki Industri 4.0 lebih-lebih lagi dengan inisiatif terbaru menerusi kerjasama yang dijalin dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia. Kami telah menubuhkan Centre of Mind Pillar untuk melatih golongan muda menceburi bidang teknologi dan pada masa yang sama membawa mereka masuk ke dalam industri itu sendiri,” katanya.

Yuzairin berkata program Pandang Ke Timur yang diilhamkan Dr Mahathir kekal relevan dengan masa lepas, semasa dan masa depan.

“Dasar Pandang Ke Timur amat penting kerana ia berjaya mengubah cara bekerja dan berfikir rakyat Malaysia dan sekali gus mewujudkan sumber manusia hebat untuk negara kita,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top