Friday , 20 July 2018

Home » Nasional » Guru Cina faham sindiran bahasa Tamil

Guru Cina faham sindiran bahasa Tamil

July 12, 2018 9:37 am Category: Nasional A+ / A-
Guru Cina faham sindiran bahasa Tamil

KUALA LUMPUR,. Ketika menunggu minumannya disiapkan baru-baru ini, Brian Cheong terdengar gadis yang mengendalikan kaunter terbabit merujuk penampilan fizikalnya sebagai ‘gemuk dan hodoh’ dalam bahasa Tamil.

Guru Bahasa Inggeris itu bingkas bangun dan menghampiri pelayan itu lalu menegur perbuatannya menggunakan istilah menghina pelanggan sepertinya.

“Saya mungkin berketurunan Cina, tapi itu tidak wajar menjadi alasan digelar ‘gemuk dan hodoh’ dalam apa bahasa sekalipun.
brian2_cropped.transformed
“Saya tegas mengingatkan pelayan itu supaya tidak mencaci pelanggan kerana kita tidak tahu apa yang mereka tahu dan mukanya kaget apabila mendengar saya bercakap dalam bahasa Tamil,” katanya.

Perkongsian menerusi akaun Twitter peribadinya @OhhB_ itu tular dengan lebih 11,000 ‘retweet’, selain sokongan netizen serta selebriti seperti Adibah Noor terhadap langkahnya membuat teguran itu, selain kagum dengan kemampuan Brian bertutur pelbagai bahasa.

Menjiwai jadi rakyat Malaysia

Malah, ramai yang yang menyifatkannya sebagai individu yang benar-benar menjiwai dan menyelami erti sebenar menjadi rakyat Malaysia, serta mahu mengikut jejak langkahnya mempelajari pelbagai bahasa yang ditutur rakyat negara ini.

Dalam pertemuan dengan NSTP baru-baru ini, Brian mengakui kecewa kerana masih ada rakyat negara ini yang menganggap rakyat Melayu, Cina dan India hanya fasih berbahasa ibunda masing-masing.

“Saya tidak sangka perkongsian itu tular. Bukan niat mahu memalukan pelayan itu, tetapi mesej saya jelas iaitu tidak semestinya orang Cina atau kaum lain tak boleh bertutur bahasa Tamil atau apa bahasa pun.

“Ini bukan kali pertama saya berdepan insiden sebegini. Pemikiran kita kena berubah kalau mahu maju,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.

Selain bahasa kebangsaan dan Tamil serta Mandarin, Brian turut menguasai dialek Hokkien, Hakka, Hindi dan Punjabi, selain mempelajari bahasa Thai, Vietnam dan Tagalog.

Minatnya mempelajari bahasa bermula ketika di sekolah rendah apabila mendengar gurunya yang berbangsa Melayu bertutur dalam bahasa Tamil untuk menarik minat pelajar India dalam kelasnya.

Layanan istimewa

“Jujur saya katakan, kebolehan berbahasa Tamil membolehkan saya mendapat ‘layanan istimewa’ jika ke kedai mamak, malah ada antara pekerja yang menjadi kawan,” katanya yang turut memuat naik video membuat pesanan makanan dalam bahasa Tamil di Twitter.

Kesungguhan Brian mendampingi masyarakat berbilang kaum turut dizahirkan menerusi amalan berpuasa sepanjang Ramadan yang memasuki tahun kelapan berturut-turut.

“Pelajar saya ramai yang berpuasa, jadi saya sertai mereka sebagai cabaran. Saat paling berharga pastinya saat berbuka bersama-sama rakan,” katanya.

Brian turut memastikan dirinya mengenakan pakaian tradisional jika ke rumah ibadat atau kenduri kaum tertentu, sebagai tanda hormat pada keunikan budaya masing-masing.

“Jika pergi ke majlis perkahwinan rakan berbangsa India atau Melayu, saya akan memakai pakaian tradisional mereka dengan lengkap, termasuk mengikat sendiri samping dan dhoti. Saya kini memiliki 13 pasang baju Melayu lengkap.

“Kepelbagaian ini adalah nilai dan identiti rakyat Malaysia yang perlu kita raikan, bukan sekadar menunggu tanggal 31 Ogos untuk menyanyi lagu patriotik dan memasang Jalur Gemilang,” katanya.

scroll to top