Tuesday , 23 July 2019

Home » Nasional » Had umur belia: Kerajaan kaji kesan tindakan Johor – Dr Mahathir

Had umur belia: Kerajaan kaji kesan tindakan Johor – Dr Mahathir

July 10, 2019 2:34 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Had umur belia: Kerajaan kaji kesan tindakan Johor – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji kesan tindakan kerajaan negeri Johor yang mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun.

“Tindakan (kerajaan negeri) itu kita nak kaji apa kesannya dan kenapa dia buat benda ini. Kita tidak tahu mendalam tentang tindakan yang diambil oleh kerajaan Johor,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kerajaan negeri Johor mengekalkan had umur belia negeri kepada 40 tahun, sehingga pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 diwartakan pada 2021.

Pada 3 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Dalam perkembangan lain, mengenai pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Dr Mahathir berkata perkara itu terpulang kepada parti pembangkang berkenaan.

“Mereka mahukan Najib balik, terpulanglah kepada mereka. Itu hal BN, kena tanya BN,” katanya.

Mengenai laporan media berhubung lantikan Rania Zara Medina yang didakwa transgender, sebagai Ahli Jawatankuasa di dalam Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan, Dr Mahathir berkata beliau tidak mengetahui kesahihan mengenai perkara itu.

“Transgender You pergi periksa dia tak Sebab saya tak tau macam mana dia transgender sebab saya tak jumpa dia,” katanya berseloroh.

— BERNAMA

scroll to top