Thursday , 13 December 2018

Home » Sukan » Hamilton tak nafi tawaran Ferrari

Hamilton tak nafi tawaran Ferrari

July 20, 2018 11:42 am Category: Sukan A+ / A-
Hamilton tak nafi tawaran Ferrari

Lewis Hamilton

HOCKENHEIM, Jerman: Lewis Hamilton bermain teka-teki semalam apabila dia enggan menafikan bahawa Ferrari menjadi satu-satunya pasukan yang ada mendekatinya sebelum akhirnya bersetuju menyambung kontrak lumayan selama dua tahun bersama Mercedes.

Juara dunia empat kali itu, yang dilaporkan menjadi pemandu Formula Satu pertama dibayar STG40 juta (RM211.5 juta) setahun, mengakui ada pasukan lain cuba memancingnya tetapi dia tidak memberi sebarang harapan.

Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar menjelang perlumbaan hujung minggu ini di Grand Prix Jerman ketika dia cuba mengatasi wira tempatan, Sebastian Vettel dari Ferrari dan mendahului saingan merebut gelaran musim ini, Hamilton memuji Mercedes dan prinsipal pasukan, Toto Wolff kerana sabar sepanjang tujuh bulan rundingan.

“Dalam aspek ada pasukan lain mendekati saya, satu daripadanya ada, tapi saya tidak memberi sebarang harapan,” kata Hamilton, dengan penyambungan kontraknya bersama Mercedes akan berpanjangan hingga 2020, menyamai komitmen Vettel bersama Ferrari.

Ditanya sama ada pasukan itu adalah Ferrari, katanya: “Anda boleh membuat sebarang ramalan yang anda mahukan.”

Perjanjian baru buat pemandu berusia 33 tahun dari England itu menjadikan dia ahli sukan dengan bayaran tertinggi di Britain.

Red Bull dan McLaren masing-masing menyatakan mereka tidak menghubungi Hamilton, meletakkan Ferrari, pasukan dihormatinya, sebagai organisasi tunggal dengan kekuatan kewangan diperlukan juara sepertinya.

Hamilton mengulangi komitmennya terhadap Mercedes dan Wolff.

“Toto adalah manusia yang hebat dan pengurus yang hebat,” kata Hamilton.

“Kami ada hubungan yang baik dan ia semakin kuat.”

– AFP

scroll to top