Tuesday , 16 October 2018

Home » Nasional » ‘Haramkan saja pengurusan bola sepak bermasalah’

‘Haramkan saja pengurusan bola sepak bermasalah’

April 17, 2018 12:27 pm Category: Nasional, Sukan A+ / A-
‘Haramkan saja pengurusan bola sepak bermasalah’

Bekas pengerusi jawatankuasa tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah. - Foto fail

KUALA LUMPUR,. Itu adalah cadangan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hukuman yang sewajarnya dikenakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke atas pasukan Kuantan FA yang enggan lagi beraksi selepas dibelenggu tunggakan gaji selama tiga bulan sejak bermulanya musim 2018.

Kamarudin bagaimanapun berkata, pemain tidak boleh dipersalahkan dalam kes berkenaan kerana bayaran gaji di bawah tanggungjawab pasukan

Katanya, kegagalan menguruskan tunggakan gaji itu juga memberi petanda organisasi terbabit adalah satu pengurusan yang lemah.

“Jika sampai membabitkan isu pasukan tidak lagi mahu beraksi, ini satu masalah yang serius. Sudah tentu perlunya satu bentuk hukuman yang keras sebagai pengajaran.

“Sepatutnya pengurusan lemah sebegini diharamkan daripada menyertai saingan bola sepak tempatan. Kegagalan pengurusan menyebabkan pelbagai masalah timbul sehingga menjejaskan pihak yang terbabit.

“Atas salah pengurusan menyebabkan tunggakan gaji berlaku selama berbulan bulan. Pemain tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria mengesahkan masalah tunggakan gaji yang dialami menjadi punca pemainnya menolak untuk turun ke padang pada perlawanan bertemu skuad bimbingan Zulhamizan Zakaria itu.

Selain itu beliau turut menjelaskan betapa dirinya sudah tidak mampu berbuat apa-apa selepas pasukan berkenaan dipercayai sepakat enggan beraksi pada perlawanan ketujuh Liga Perdana itu.

Bagaimanapun, kegagalan skuad The Seagulls itu untuk hadir pada aksi Liga Perdana bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, Ahad lalu mengundang padah selepas pasukan ini bakal berdepan hukuman berat daripada MFL.

Badan pengendali liga itu menerusi satu kenyataan berkata, mereka memandang serius perkara itu dan bersedia mengenakan hukuman berat dengan membatalkan penyertaan pasukan terbabit.

Malah, MFL turut menegaskan hukuman yang sewajarnya tetap dikenakan kepada individu bagi memastikan mereka tidak menceburkan diri dalam bola sepak tempatan lagi.

scroll to top