Friday , 21 June 2019

Home » Bisnes » Harga minyak menokok empat hari berturut-turut

Harga minyak menokok empat hari berturut-turut

May 17, 2019 11:11 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Harga minyak menokok empat hari berturut-turut

SYDNEY,. Harga minyak melonjak lebih tinggi hari ini, meneruskan kenaikan ke sesi keempat apabila ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah mencetuskan kebimbangan berhubung potensi gangguan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$72.82 satu tong pada 0024 GMT, naik 20 sen, atau 0.3 peratus, daripada penutup sebelumnya.

Brent ditutup 1.2 peratus lebih tinggi pada Khamis apabila harga mencecah paras tertinggi AS$73.36 satu tong, tertinggi sejak 26 April.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$63.18 satu tong, meningkat 31 sen, atau 0.5 peratus, daripada penutup sebelumnya.

WTI ditutup 1.4 peratus lebih tinggi pada sesi sebelumnya.

“Harga minyak mentah terus meningkat apabila ketegangan Teluk Parsi kekal tinggi dan ketidakpastian menyelubungi OPEC dan sekutunya yang akan bermesyuarat minggu ini bagi membincangkan penyelarasan pengeluaran disebabkan oleh sekatan ke atas Iran,” kata Edward Moya, penganalisis pasaran kanan di OANDA.

Gabungan ketenteraan yang diketuai Arab Saudi di Yemen melakukan beberapa serangan udara di Sanaa pada Khamis selepas Iran mendakwa bertanggungjawab bagi serangan dron ke atas dua stesen pam minyak Saudi awal minggu ini.

Presiden Donald Trump memaklumkan penasihat-penasihat kanan bahawa beliau tidak mahu Amerika Syarikat (AS) terbabit dalam peperangan dengan Iran, kata tiga pegawai AS semalam.

Pasaran itu juga sedang menunggu keputusan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar lain berhubung sama ada akan meneruskan pemotongan bekalan yang menaikkan harga lebih dari 30 peratus setakat tahun ini. – Reuters

scroll to top