Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » Hayati Perjuangan Dan Misi Besar Pru14 -Najib

Hayati Perjuangan Dan Misi Besar Pru14 -Najib

December 8, 2017 7:26 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Hayati Perjuangan Dan Misi Besar Pru14 -Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR,. Amanat Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini jelas dan terang mesejnya, iaitu pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang bukan kepalang cabaran medan juangnya dan juga amat besar misinya.

Pilihan raya adalah ibarat medan perang, itu yang digambarkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Disebabkan itu, Najib bersungguh-sungguh mahukan anggota perwakilan faham bahawa Perhimpunan Agung parti dan pilihan raya kali ini bukan hanya demi UMNO atau Barisan Nasional semata-mata tetapi menggalas survival atau destini umat serta negara keseluruhannya.

“Pilihan raya umum kali ini…bukan pilihan raya biasa…,” katanya. Ia juga penentu kepada nasib negara.

“Misinya amat besar. Pelbagai program transformasi dan produk 1Malaysia diperkenalkan. Projek-projek infrastruktur bukan sahaja di ibu negara malah hingga ke pelusuk desa termasuk di Sabah dan Sarawak.

Semuanya memerlukan sokongan dan mandat besar bukan hanya anggota UMNO atau BN sahaja tetapi seluruh rakyat untuk bersama mendukung cita-cita memartabatkan bangsa dan mentransformasikan negara.

Tidak kurang 20 kali ungkapan pilihan raya disebut sepanjang ucapan dasar presiden. Berulang kali juga Najib mengingatkan anggota perwakilan parti akan musibah yang bakal menanti jika misi tidak didukung secara serius dan gagal.

“Perang kali ini… yang bergelar Bapa Segala Pilihan Raya, kita akan bertempur… berlawan… lawan habis-habisan!,? laung Najib di hadapan lautan merah anggota perwakilan UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

UMNO sedar cabaran besar pilihan raya kali ini. Pertama ialah medan perang di alam siber yang membolehkan tersebar maklumat tidak tepat dan pembohongan.

Menurut Najib, UMNO dan BN telah menjadi mangsa politik persepsi yang didalangi pembangkang.

Kedua ialah pihak lawan bukan sahaja pembangkang tradisi seperti DAP tetapi mereka yang dahulunya rakan seperjuangan dalam Majlis Tertinggi, malah seorang bekas pemimpin nombor satu.

Meskipun berusia 92 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat sudah pun membayangi pemimpin

pembangkang lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang pada pilihan raya umum akan datang.

Pada persidangan Pergerakan Pemuda UMNO semalam, Ketuanya Khairy Jamaluddin mengingatkan rakyat Malaysia terutama golongan muda jangan terpedaya dengan ‘nostalgia dongeng’ yang memberi gambaran seolah-olah zaman Dr Mahathir lebih baik berbanding sekarang.

Khairy mengajak pengundi muda menyedari pelbagai realiti pembangunan yang dibawa pada zaman Najib sekarang.

Katanya nostalgia dongeng perlu ditangkis kerana ia memberi gambaran seolah-olah segalanya sempurna dan indah belaka pada zaman dahulu sedangkan banyak kepincangan dan ketidaksamarataan berlaku.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula mengingatkan anggota perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tentang kemunculan Si Kitol dan Bendahara (Mamak) Mandaliar yang mengkhianati bangsanya.

“Hari ini gambaran Si Kitol dan Bendahara (Mamak) Mandaliar sudah terjelma. Di saat kita memacu lembayung arjana (kejayaan) bangsa, individu inilah yang pernah memimpin kita, sekarang ini pula mahu menghancurkan UMNO,” katanya.

Najib menyebut semula sajak Dr Mahathir semasa Perhimpunan Agung 2001 bertajuk ‘Melayu Mudah Lupa’.

“Jelasnya, Melayu Mudah Lupa itu merujuk kepada dirinya sendiri, kerana orang lain tetap berpegang kepada roh dan falsafah perjuangan parti seperti kita semua, Insya-Allah tidak sesekali menjadi Melayu Yang Mudah Lupa seperti mereka!,” kata Najib.

Apabila UMNO siapsiaga, parti-parti komponen BN turut bersedia.

“Mesej Najib jelas. Barisan harus lebih bersedia untuk pilihan raya kali ini dan harus menang dengan meyakinkan,” kata Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Tan Sri M.Kayveas.

— BERNAMA

scroll to top