Monday , 10 December 2018

Home » Sukan » Hazard patut contohi Iniesta ‘genius': Conte

Hazard patut contohi Iniesta ‘genius': Conte

March 14, 2018 9:06 am Category: Sukan A+ / A-
Hazard patut contohi Iniesta ‘genius': Conte

Pengurus Chelsea, Antonio Conte

BARCELONA,. Pengurus Chelsea, Antonio Conte menganggap pemain Barcelona, Andres Iniesta sebagai seorang ‘genius’ dan mencabar Eden Hazard untuk menyamai pencapaian pemain Sepanyol itu dengan memenangi trofi utama.

Iniesta belum cergas sepenuhnya menjelang pertembungan pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Nou Camp awal pagi esok, dengan kedudukan terikat 1-1 selepas aksi pertama.

Pemain tengah itu disenaraikan dalam skuad selepas pulih daripada kecederaan hamstring dan kehadirannya pasti melonjakkan harapan Barca.

Conte berkata, Chelsea perlu memperagakan “permainan sempurna” untuk layak ke suku akhir dan mereka juga mengharapkan sentuhan magis Hazard.

Hazard semakin kecewa akhir-akhir ini ketika memainkan peranan berseorangan di bahagian serangan namun apabila ditanya perbandingan antara pemain Belgium itu dengan Iniesta, Conte berkata: “Kita bercakap mengenai dua pemain berbeza dengan karier berbeza. Iniesta menang banyak kali dalam kariernya, Hazard perlu mula menang trofi penting.”

Mengenai impak kemungkinan Iniesta kembali, Conte menegaskan: “Saya suka membandingkannya dengan Andrea Pirlo. Kita bercakap mengenai genius dalam bola sepak.

“Saya tidak tahu jika dia boleh bermain esok. Dalam corak perlawanan sebegini, lebih bagus bertemu pemain terbaik dan anda tidak mengharapkan mereka diketepikan kerana kecederaan.”

Chelsea tidak bernasib baik hanya seri pada aksi pertama di Stamford Bridge, apabila gol penyamaan Lionel Messi mengecewakan Blues yang mendominasi permainan.

– AFP

scroll to top