Tuesday , 23 July 2019

Home » Sukan » Hendrawan; ‘ia menjadi tugasan yang sukar’

Hendrawan; ‘ia menjadi tugasan yang sukar’

July 9, 2019 12:06 pm Category: Sukan A+ / A-
Hendrawan; ‘ia menjadi tugasan yang sukar’

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan.

KUALA LUMPUR,. Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan memilih jalan selamat apabila enggan memberi sebarang jaminan untuk menjadikan Lee Zii Jia sebagai pencabar pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malah, jurulatih dari Malang, Indonesia itu beberapa kali menyebut ‘ia menjadi tugasan yang sukar’ baginya selepas mendapat kepercayaan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melatih Zii Jia.

Ketika ini, Zii Jia, 21, muncul perseorangan lelaki terbaik negara dengan menghuni tangga ke-18 dunia.

“Kemuncak sasaran atlet adalah Sukan Olimpik dan ia lebih ke arah permainan mental. Kadang-kadang pemain utama dunia boleh tersingkir awal sekiranya tidak mampu menyerap tekanan.

“Untuk memberikan jaminan (Zii Jia menjadi pencabar pingat Sukan Olimpik) itu memang saya tidak boleh bagi jawapan ketika ini kerana ia adalah soalan yang sangat sukar buat saya.

“Apa pun beri saya peluang dan saya akan cuba yang terbaik untuk ke arah itu,” kata Hendrawan ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari, semalam.

Selain Zii Jia, Hendrawan juga diberikan peranan untuk menggilap Soong Joo Ven serta Cheam June Wei yang sebelum ini berada di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek, dengan Lim Chong King melengkapkan senarai empat pemain berkenaan.

Ia adalah tugas yang berat dan perkara terbabit diakui jurulatih berusia 47 tahun itu yang mengakui khidmat sokongan daripada Misbun dan seorang lagi jurulatih perseorangan Indra Wijaya begitu penting.

“Jujur saya berseorangan tidak akan mampu melakukannya, tetapi apapun saya tetap perlu menerimanya. Kontrak saya masih berbaki setahun dan saya harap semua pihak mampu memberikan saya ruang dan masa secukupnya untuk memberi yang terbaik.

“Ia satu tugas yang berat dan saya sudah berbincang bersama Misbun dan Indra bahawa kami perlu melakukannya bersama,” katanya.

scroll to top