Sunday , 21 October 2018

Home » Nasional » Henti guna alasan semua salah Najib

Henti guna alasan semua salah Najib

July 15, 2018 8:25 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Henti guna alasan semua salah Najib

Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR,. Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan perlu menghentikan menggunakan alasan “semua salah Najib” apabila gagal mentadbir atau menunaikan janji manifesto mereka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) suka menggunakan alasan “semua salah Najib” sebagai prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pemerintah mereka untuk lima tahun akan datang patut dihentikan.

“Saya bukan lagi perdana menteri atau berada dalam kerajaan mentadbir, maka kenapa pula saya dipersalahkan terhadap isu perlantikan Speaker ini?

“Seperti cerita hutang negara RM1 trilion kerajaan PH bersandarkan definisi sendiri yang tiada negara lain dalam dunia gunakan, nama saya terus diperalatkan sebagai alasan serta dipersalahkan setiap kali kerajaan Pakatan gagal mentadbir dengan baik atau gagal menunaikan janji manis manifesto mereka,” katanya dalam status Facebook beliau hari ini.

Najib merujuk dakwaan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, bahawa pihak yang mengajukan keresahan terhadap pelantikan Yang Dipertua Speaker hanya mensensasikan isu berkenaan bagi mengalih perhatian terhadap penindasan politik terhadap dirinya.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, alasan “semua salah Najib” yang digunakan kerajaan bukan sahaja tidak adil kepada rakyat tetapi juga masyarakat yang mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada kerajaan baharu.

Dalam status berkenaan, Najib turut mempersoalkan kenapa calon Yang Dipertua Dewan Rakyat masih belum dinamakan sedangkan hanya tinggal dua hari saja sebelum sesi baharu Parlimen bermula.

Katanya, mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat nama Speaker Dewan Rakyat yang dicadangkan perlu dikemukakan kepada Sekretariat Parlimen sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sesi Parlimen bermula.

“Kini hanya tinggal dua hari saja lagi sebelum Parlimen bermula, identiti Tuan Yang Dipertua masih lagi belum dikenal pasti dan ini menjurus kepada pelbagai debat awam berhubung siapakah yang akan mengisi jawatan itu.

“Parlimen adalah badan tertinggi negara ini. Adakah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini dipatuhi? Jika tidak mampu mematuhi peraturan badan tertinggi negara, bagaimana mahu mengakui bahawa kerajaan baharu ini mentadbir berasaskan kepada kedaulatan undang-undang?” soal Najib.

scroll to top