Thursday , 29 June 2017

Home » Sukan » Hoki WHL: Wan Norfaiezah ceriakan Dhaarma

Hoki WHL: Wan Norfaiezah ceriakan Dhaarma

June 19, 2017 4:59 pm Category: Sukan A+ / A-
Hoki WHL: Wan Norfaiezah ceriakan Dhaarma

PEMAIN hoki kebangsaan negara, Wan Norfaiezah Sauiti. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah percaya Wan Norfaiezah Sauiti berada di prestasi terbaik tepat pada masanya untuk aksi pembukaan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) berdepan Australia di Brussels, malam esok.

Sejak kemunculan pertama bersama negara pada tahun lalu, pemain sayap berusia 21 tahun itu tampil dalam semua pertandingan dan mula memukau Dhaarma dengan kelincahan dimilikinya pada saingan Liga Hoki Australia, Disember lalu.

Namun sebulan selepas itu ketika Malaysia terbabit dalam kempen penuh bersejarah di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia, di sini, Januari lalu, prestasi Wan Norfaiezah tampak tidak konsisten.

Bagaimanapun, satu gol cantik ketika aksi pemanas badan berdepan Kelab Hoki Pinoke di Amsterdam minggu lalu dan tiga lagi persembahan meyakinkan mula melegakan Dhaarma.

“Dia nampak berlainan dan begitu yakin untuk membuat larian solo sehingga membantu pasukan mendapat banyak pukulan sudut penalti dan peluang menjaringkan gol.

“Memang saya nampak bakat semula jadi dimilikinya tetapi dia tidak konsisten dari segi permainannya.

Namun apabila berada di tahap terbaik, dia akan memberikan keyakinan tambahan kepada pasukan,” kata Dhaarma.

Malah, pengendali berusia 48 tahun itu menaruh keyakinan tinggi terhadap anak kelahiran Pahang itu untuk menjadi pemain berkelas dunia pada masa akan datang dengan latihan yang betul dan disiplin tinggi.

Selain Wan Norfaiezah, Malaysia Tigress turut menyandarkan harapan kepada jentera serangan terdiri daripada Hanis Nadiah Onn, Fazilla Sylvester Silin, Nur Zafirah Aziz dan Fatin Shafika Mohd Sukri untuk aksi berdepan Australia.

Meskipun sukar untuk mengatasi lawan di ranking keempat dunia itu, namun tetap penting bagi skuad negara mengelak sebarang kekalahan besar ketika agregat gol turut memainkan peranan penting dalam menentukan peluang ke suku akhir.

Saingan separuh akhir wanita WHL di Brussels bakal berlangsung dari 21 Jun hingga 2 Julai ini.

scroll to top