Sunday , 27 May 2018

Home » Bisnes » Honda Malaysia tambah baik gudang alat gantian

Honda Malaysia tambah baik gudang alat gantian

February 2, 2018 2:43 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Honda Malaysia tambah baik gudang alat gantian

SHAH ALAM,. Honda Malaysia baru-baru ini melengkapkan fasa kedua dalam mengembangkan gudang komponennya di Bukit Jelutong untuk menampung permintaan selepas jualan yang meningkat sejajar dengan peningkatan jualan dan perkhidmatannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, berkata pengembangan gudang komponen syarikat automotif itu bukan sahaja meningkatkan kapasiti ruangan simpanan, malah juga menambah baik pengendalian operasi serta mempercepatkan proses penghantaran kepada pihak pengedar dan pelanggan.

Katanya, Honda Malaysia melabur sebanyak RM11 juta untuk menambah kapasiti simpanan gudang terbabit kepada 21,700 meter persegi.

“Gudang itu menempatkan peralatan yang diperlukan 93 pengedar Honda di Malaysia, terletak di atas tanah berkeluasan 50,000 meter persegi dan dibuka pada 2012.

“Honda Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan dan perkhidmatan yang memberangsangkan dalam tempoh empat tahun lalu dan ini menyebabkan permintaan terhadap alat gantian terus meningkat.

“Pengembangan ini dilakukan berikutan jualan alat gantian meningkat sebanyak 32 peratus, manakala permintaan terhadap kemudahan Body & Paint meningkat 48 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, fasa kedua pengembangan gudang alat gantian itu akan memperlihatkan penstrukturan baharu terhadap penempatan stok, lokasi antara gudang dan mengoptimumkan ruang untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti.

“Ini termasuk menempatkan barangan yang sering mendapat permintaan di kawasan berhampiran untuk mengurangkan masa perjalanan ketika pengambilan barangan berkenaan dan meminimumkan pergerakan forklif, sekali gus menghasilkan kerja yang lebih efisyen.

“Operasi juga dapat dipertingkatkan dengan mengimplementasi sistem kod bar bagi barangan yang sudah dibungkus dan dilabelkan terdahulu oleh pembekal, yang mana ia hanya memerlukan pengesahan untuk dikemaskini ke dalam sistem,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Honda Malaysia turut melaksanakan penghantaran menggunakan motosikal untuk alat gantian bersaiz kecil.

“Langkah ini bagi memastikan pengedar menerima barangan dengan pantas, dan tidak menjejaskan operasi mereka, sekali gus menjamin perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

scroll to top