Monday , 24 September 2018

Home » Bisnes » Huawei jual 6,000 telefon pintar setiap hari

Huawei jual 6,000 telefon pintar setiap hari

December 26, 2017 6:59 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Huawei jual 6,000 telefon pintar setiap hari

Timbalan Pengarah Huawei Malaysia, Matthew Ng

KUALA LUMPUR,. Syarikat gergasi elektronik, Huawei Malaysia menjual lebih 6,000 unit telefon pintarnya, setiap hari.

Timbalan Pengarah Huawei Malaysia, Matthew Ng, berkata unit itu termasuk keluaran Huawei edisi baharu seperti Nova 2i dan Mate 10, yang disifatkan sebagai ‘barang panas’ ketika ini.

Beliau berkata, ia dilihat sebagai satu perubahan positif yang drastik jika dibandingkan dengan jualan telefon pintarnya pada 2015, yang hanya mencecah 500 hingga 600 unit dalam tempoh sama.

“Peningkatan jualan menunjukkan rakyat Malaysia sudah menyedari Huawei adalah satu jenama yang berkualiti. Persepsi tidak mahu beli barang (Huawei) dari China berjaya diubah.

“Kita mahu jenama Huawei terus kekal relevan dalam pasaran, tidak mahu hanya dikenali dan terkenal dalam tempoh satu atau dua tahun sahaja.

“Malah, jika seseorang tidak memiliki telefon pintar jenama Huawei, mereka sebenarnya secara tidak langsung pengguna Huawei kerana kebanyakan rangkaian telefon dikendali dan dibentuk oleh Huawei.

“Secara faktanya rangkaian 3G dan 4G, saham masing-masing dipegang Huawei sebanyak 75 peratus dan 50 peratus,” katanya ketika ditemui BH di kedai jualan Huawei di pusat beli-belah terkemuka di ibu negara, malam ini.

Ditanya mengenai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Huawei Malaysia sempena Krismas, Ng berkata, pihaknya ‘menurunkan’ salji tiruan selama setengah jam bermula jam 8 malam ini, di pintu masuk utama pusat beli-belah, Pavillion.

Biarpun menggunakan salji tiruan, katanya, acada itu memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai kegembiraan serta keterujaan bermain salji ala kisah dongeng Snow White.

“Kita juga ‘tabur’ salji tiruan di Pyramid Ice, Sunway Pyramid pada jam 2 petang dan 4 petang hari ini, manakala tepat jam 12 tengah malam (malam Ahad pagi Isnin), kita ‘tabur’ di Sunway Carnival, Seberang Jaya (Pulau Pinang).

“Ini antara usaha CSR Huawei. Ia sebagai tanda terima kasih kepada pengunjung yang tidak henti menyokong produk Huawei.

“Pada masa sama, promosi Krismas bulan ini akan dilanjutkan hingga Januari tahun depan. Kita menawarkan beberapa hadiah percuma seperti ‘selfie sticks’ dan pengecas bateri telefon pintar dalam kereta apabila pelanggan membeli telefon pintar Huawei terpilih,” katanya.

scroll to top