Tuesday , 20 November 2018

Home » Bisnes » Huawei lancar siri Mate terbaharu

Huawei lancar siri Mate terbaharu

October 17, 2018 3:52 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Huawei lancar siri Mate terbaharu

LONDON,. Huawei hari ini memperkenalkan telefon pintar baharunya dengan ciri kamera dan video pintar dalam usaha mengekalkan momentum minat pengguna terhadap peranti mampu milik.

Gergasi telefon pintar dari China itu, yang memintas Apple untuk menduduki tempat kedua tahun ini dalam kategori pengeluaran unit, memperkenalkan Siri Mate 20 yang dibangunkan dengan teknologi kamera Leica.

Antara ciri terbaharu yang dipertingkatkan adalah lensa ultra lebar, lensa telefoto dan kamera makro yang mampu menangkap gambar objek hampir 2.5 sentimeter.

Model Mate P20 dibangunkan dengan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) yang dibina dalam cipset Kirin milik Huawei sendiri.

Selain itu, pengguna dapat menikmati ciri kabur pada latar belakang untuk menonjolkan objek di hadapannya.

Penganalisis Gartner, Roberta Cozza berkata dalam pasaran telefon pintar, Huawei berjaya membezakan modelnya dengan teknologi kamera dan ciri peribadi.

“Dengan Mate 20, Huawei menetapkan satu pencapaian baharu untuk pengguna fotografi menggunakan telefon pintar,” katanya.

Pada pelancaran globalnya di London, Huawei dijangka memintas harga peranti premium Samsung dan Apple, yang dijual di atas paras AS$1,000 (RM4,150) seunit.

Pembuat telefon China itu berjaya memotong Apple untuk menduduki tempat kedua pada suku kedua tahun ini, meskipun berdepan larangan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS).

“Huawei jelas memenuhi semua kriteria untuk mengatasi pesaingnya dan bukan hanya peranti yang dikuasakan oleh Android sahaja,” kata ketua penyelidikan firma perunding industri mudah alih CCS Insight, Ben Wood.

Wood berkata, Huawei memadankan ciri gerak isyarat dan ciri kunci paparan wajah yang terdapat dalam iPhone ke dalam Mate 20 Pro, sekali gus, memudahkan pembeli Apple untuk beralih.

“Jelas menunjukkan Huawei mempunyai pandangan terhadap masa depan dan bersedia untuk mengambil pegangan pasaran dari Apple jika pengguna setia iPhone memutuskan untuk mencuba sesuatu yang baharu,” katanya.

Barisan peranti premium itu memperkenalkan empat model, Mate 20, Mate 20 Pro, Mate 20 X, dengan skrin paparan 7.2 inci dan telefon edisi terhad rekaan Porsche bermula pada harga AS$925 (RM3842) hingga AS$983 (RM4,083). – Reuters

scroll to top