Thursday , 15 November 2018

Home » Bisnes » IBR, ICPT dorong pengguna ubah sikap hargai tenaga

IBR, ICPT dorong pengguna ubah sikap hargai tenaga

July 14, 2018 12:54 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
IBR, ICPT dorong pengguna ubah sikap hargai tenaga

KUALA LUMPUR,. Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) adalah dua akronim yang menjadi perhatian setiap enam bulan apabila hasil semakan semula terhadap ICPT itu diumumkan.

Pengumuman terbaru oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) pada akhir bulan lalu membabitkan surcaj ICPT iaitu kali pertama dilaksanakan di Semenanjung selepas IBR diperkenalkan pada 2014, ia hanya membabitkan pengguna tenaga komersial dan perindustrian.

Namun, apakah maksud di sebalik kedua-dua akronim itu serta kesannya terhadap bil elektrik individu? Inilah yang pasti menjadi persoalan ramai yang masih asing dengan isu ini.

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada laman web ST yang juga pengawal selia tenaga Malaysia; Tenaga Nasional Bhd (TNB) -syarikat utiliti tenaga negara serta portal berita, termasuk www.energywatch.com.my, IBR yang dilaksanakan oleh ST pada 2014 adalah sebahagian daripada Pembaharuan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI).

Ia diperkenalkan bagi membolehkan kawal selia TNB yang lebih telus selain menggalakkan kecekapan bagi industri berkenaan.

IBR membabitkan pemisahan akaun entiti dalam TNB untuk mewujudkan proses yang telus dan bertanggungjawab.

Single Buyer yang sebelum ini adalah sebuah jabatan di TNB, ditempatkan dalam makro struktur penjanaan, penghantaran yang kini dikenali Grid dan pengagihan (serta runcit).

Single Buyer yang membeli elektrik daripada TNB dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) berdasarkan jadual penghantaran kos paling rendah, diwujudkan oleh TNB untuk menghalang potensi konflik kepentingan dan dilihat berat sebelah. Ternyata, ia memberi keutamaan kepada penjana dengan harga paling murah.

Oleh itu, di bawah rangka kerja IBR, kini terdapat lima entiti TNB iaitu Penjanaan, Penghantaran, Single Buyer, Pengendali Sistem Grid dan Distribution Network, selain Khidmat Pelanggan.

Menurut sumber, sama dengan Single Buyer, Pengendali Sistem Grid turut diwujudkan oleh TNB dengan kedua-duanya melaporkan kepada ST.

Menerusi akaun pengawalseliaan individu, ST berupaya mengasingkan komponen tarif untuk kadar elektrik yang lebih telus yang dijana daripada tarif kelompok.

IBR turut menampilkan mekanisme ICPT yang membolehkan pelarasan dibuat dalam bil elektrik pengguna bagi tempoh setiap enam bulan.

ICPT bermula dengan tempoh kawal selia (RP) pertama bagi tempoh Januari 2015 hingga Disember 2017 dan kini berada dalam fasa kawal selia kedua (RP2) untuk tempoh tiga tahun lagi bermula dari 2018 hingga 2020.

Kadar berbeza rebat

Di bawah kajian semula separuh tahun ICPT, ada kadar berbeza rebat atau surcaj untuk mencerminkan perubahan harga bahan api bagi penjanaan elektrik.

Pergerakan harga gas diimport dan harga arang batu, serta gas domestik dalam tempoh enam bulan sebelum ini, akan dicerminkan sebagai surcaj atau rebat dalam tempoh enam bulan seterusnya.

Lapan kitaran ICPT diumumkan dari tempoh Mac 2015 hingga Disember 2018 dengan tujuh kitaran ICPT pertama membabitkan rebat.

Rebat 2.25 sen/kWj misalnya diumumkan pada 2015, manakala 1.52 sen/kWj pada 2016, 2017 serta Januari sehingga Jun 2018.

Bagi tempoh Julai hingga Disember 2018, satu surcaj dikenakan. Ramai yang mungkin bertanya mengapa surcaj dikenakan kali ini dan mengapa rebat tidak diteruskan.

Sebelum perkara itu boleh dirungkai, kita perlu menghadam beberapa maklumat latar belakang seperti berikut:

Pertama, semua pengguna terkesan dengan mekanisme ICPT tetapi pengecualian diberikan, untuk mereka yang menggunakan kurang daripada 300kWh elektrik sebulan, bersamaan RM77.

Sebagai tambahan, pada semakan semula ICPT baru-baru ini, pengguna domestik dengan bil melebihi RM77 tidak perlu membayar surcaj kerana ia dibiayai oleh Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE). Bagaimanapun, baki dana KWIE semakin berkurangan.

Kedua, di bawah IBR, tarif asas ditetapkan untuk setiap tempoh pengawalseliaan (RP). Tarif asas meliputi semua operasi elektrik seperti kos bahan api dan penjanaan, kos pengedaran, kos transmisi serta kos Pembeli Tunggal dan Sistem Grid.

ST dalam pengumuman terbaharu berkenaan ICPT berkata, untuk RP2 yang berakhir pada 2020, tarif asas ditetapkan pada 39.45 sen/kWh.

Perubahan kos bahan api

Ketiga, IBR menyediakan penyesuaian enam bulan berikutan perubahan dalam kos bahan api stesen janakuasa menerusi mekanisme ICPT dan yang terakhir, penjana tenaga Semenanjung sangat bergantung kepada bahan api fosil dengan 53 peratus daripada sumber arang batu, 42 peratus gas asli dan 5 peratus hidro dengan bentuk lain tenaga diperbaharui (RE).

Arang batu yang diimport 100 peratus menjadikannya mudah terkesan dengan ketidaktentuan pasaran. Medium itu diimport dari Indonesia (63 peratus), Australia (24 peratus), Rusia (11 peratus) dan Afrika Selatan (2 peratus).

Sementara itu, sumber gas adalah dari pantai timur Semenanjung selain diimport sebagai gas asli cecair.

Pada asasnya, komponen kos elektrik mempunyai elemen tetap dan boleh ubah, dengan faktor boleh ubah dipengaruhi oleh permintaan dunia terhadap arang batu dan gas, turun naik ringgit serta program rasionalisasi subsidi gas.

Dalam pengumuman oleh ST baru-baru ini mengenai ICPT, badan itu menjelaskan harga arang batu yang meningkat lebih 20 peratus kepada AS$91.66/tan daripada AS$75/tan digunakan dalam unjuran untuk mengira tarif asas.

Mata wang tempatan yang susut kepada 4.0409 berbanding dolar AS menyebabkan harga arang batu dalam ringgit melonjak kepada lebih RM370/tan daripada lebih RM250/tan pada Januari 2014.

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi harga gas menyebabkan harga gas meningkat secara berperingkat pada kadar RM1.50/mmbtu setiap enam bulan. Ia meningkat 69 peratus kepada RM25.70/mmbtu pada Julai 2018 daripada RM15.20/mmbtu pada Januari 2014.

Setakat ini, rebat RM6.3 bilion dilepaskan kepada pelanggan, sebahagiannya dibiayai oleh KWIE. Pasti pengenaan caj tambahan kali ini menunjukkan pengurangan dana KWIE.

Justeru, sudah tiba masanya kita sebagai pengguna, menilai semula sikap dalam penggunaan tenaga dan mengamalkan pendekatan cekap tenaga.

BERNAMA

scroll to top