Sunday , 16 December 2018

Home » Nasional » ICERD: Arahan pindah kenderaan rasmi di Menara DBKL tidak wajar

ICERD: Arahan pindah kenderaan rasmi di Menara DBKL tidak wajar

December 7, 2018 10:44 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
ICERD: Arahan pindah kenderaan rasmi di Menara DBKL tidak wajar

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan

KOTA BHARU,. PAS menyifatkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengeluarkan arahan termasuk memindahkan semua kenderaan rasmi yang berada di menara berkenaan ke Jalan Cheras adalah tidak wajar.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata arahan yang dibuat pihak berkuasa tempatan itu boleh menimbulkan keresahan kepada rakyat.

Katanya, beliau menerima salinan surat yang dikeluarkan DBKL pada Selasa lalu memaklumkan beberapa arahan seperti semua jabatan di Menara DBKL 1 dan 2 ditutup pada Sabtu ini.

“Selain itu, kenderaan rasmi jabatan ditempatkan di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal di Jalan Cheras dan semua kontraktor pembersihan serta ubahsuai pejabat tidak dibenarkan menjalankan sebarang kerja pada hari berkenaan sebagai langkah keselamatan.

“Kita menegaskan himpunan berkenaan bukan untuk menimbulkan provokasi sebaliknya ia adalah himpunan aman. DBKL tidak sepatutnya mengeluarkan arahan sedemikian selaku pihak berkuasa tempatan.

“DBKL sepatutnya menjamin keselamatan dan membenarkan anggotanya bertugas, bukannya mengeluarkan arahan seolah-olah kita mahu melakukan provokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Grand Finale Himpunan Aman Rakyat Membantah ICERD, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Sementara itu, Annuar berkata kerajaan perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku kejadian tidak diingini pada Sabtu ini kerana mengadakan dua himpunan besar dengan lokasi yang agak dekat.

Katanya, walaupun dua himpunan itu diadakan dia lokasi berlainan, namun perlu diingat penyokong masing-masing mungkin menggunakan pengangkutan yang sama yang boleh menimbulkan provokasi.

“Hari hak asasi sedunia adalah hari Isnin dan mereka boleh mengadakan himpunan pada hari lain iaitu Ahad atau Isnin.

“Mereka mengumumkan untuk mengadakan himpunan hak asasi itu selepas kita mendapat permit untuk mengadakan himpunan aman bantah ICERD.

“Namun di pihak himpunan aman, kita berusaha supaya semuanya berjalan secara aman dan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, mungkin ia sudah dirancang oleh pihak tertentu,” katanya.

scroll to top