Thursday , 18 January 2018

Home » Nasional » Imigresen tumpaskan sindiket ‘Abang Bangla’

Imigresen tumpaskan sindiket ‘Abang Bangla’

January 12, 2018 4:54 pm Category: Nasional A+ / A-
Imigresen tumpaskan sindiket ‘Abang Bangla’

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali semasa melihat passport berhubung kes penyeludupan manusia dan turut bersama Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed (kanan) dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi, Siasatan & Pendakwaan JIM, Eadie Nor Faizal Othman (kiri) selepas sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.

PUTRAJAYA,. Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan warga Bangladesh didalangi lelaki dikenali ‘Abang Bangla’ dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Seksyen 28, Shah Alam, Selangor, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya menahan 50 warga Bangladesh berusia 20 hingga 45 tahun dalam serbuan jam 2 pagi, selain merampas wang tunai RM13,400 dan 48 pasport Bangladesh.

Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan penahanan seorang lelaki Bangladesh dikenali ‘Abang Bangla’ atau nama sebenarnya Abdul Rauf, 43, di Alam Megah, di Shah Alam dipercayai menjadi dalang sindiket menguruskan kemasukan warga senegaranya itu.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang disyaki bersubahat sebagai pembantu kepada ‘Abang Bangla’.

“Siasatan awal mendapati ‘Abang Bangla’ ini menguruskan kemasukan warga Bangladesh berkenaan yang ada di antara mereka pernah melakukan kesalahan dan dijatuhkan hukuman kerana memasuki negara ini secara tidak sah.

“Sebahagian daripada mereka juga sudah disenarai hitam Jabatan Imigresen dan mereka menggunakan khidmat ‘Abang Bangla’ ini untuk membawa mereka masuk semula ke Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mustafar berkata, modus operandi sindiket itu yang sudah beroperasi lebih lapan bulan ialah menguruskan tiket penerbangan warga Bangladesh terbabit dengan menaiki penerbangan dari Dhaka ke Jakarta, Indonesia.

“Dari Jakarta, mereka dibawa menggunakan jalan laut ke Malaysia dan kita mengenal pasti pesisir pantai Sekinchan, Selangor menjadi lokasi pendaratan sebelum mereka dibawa sindiket ke rumah penginapan berkenaan.

“Warga Bangladesh ini juga terpaksa membayar antara RM15,000 hingga RM20,000 kepada sindiket berkenan.

“Mereka akan disimpan terlebih dahulu di kediaman berkenaan atau dipanggil rumah penampungan sehingga bayaran diselesaikan dan selepas itu barulah diserahkan kepada ejen atau majikan yang memerlukan pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata, dalang berkenaan memasuki Malaysia pada Jun 2013 dan bekerja di sebuah syarikat di Brickfields, Kuala Lumpur.

Pembantu kini ditahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala 50 warga Bangladesh berkenaan ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu Mustafar berkata, pihaknya juga turut membuat satu lagi serbuan di sebuah gudang di Subang Jaya, tengah hari semalam, sebelum menahan 121 warga Bangladesh, 60 India dan dua Pakistan.

“Mereka melakukan beberapa kesalahan, termasuk pasport tamat tempoh dan ada yang melakukan kesalahan kerana pertukaran sektor.

“Mereka tidak sepatutnya bekerja di gudang berkenaan. Ada beberapa syarikat penyumberan luar yang uruskan mereka ke tempat itu. Kita sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik gudang dan ejen syarikat penyumberan luar ini,” katanya.

BH

scroll to top