Thursday , 29 June 2017

Home » Dunia » Indonesia hantar jet Sukhoi pantau pergerakan militan

Indonesia hantar jet Sukhoi pantau pergerakan militan

June 19, 2017 2:32 pm Category: Dunia A+ / A-
Indonesia hantar jet Sukhoi pantau pergerakan militan

SUKHOI Su-30. - Foto hiasan

JAKARTA: Indonesia menghantar jet pejuang Sukhoi di pangkalan tentera di utara Borneo bagi meningkatkan kawalan keselamatan jika militan Daesh yang merampas bandar raya Marawi di Filipina cuba melarikan diri ke selatan negara itu.

Ketua pangkalan udara di Tarakan, bandar di Kalimantan Utara, Kolonel Dididk Krisyanto, berkata tiga jet Sukhoi yang tiba kelmarin akan berada di situ selama sebulan bagi memantau jika militan yang bertempur dengan tentera Filipina di Marawi melarikan diri ke Indonesia.

“Militan mungkin melarikan diri dari Filipina dan terpaksa menyeberangi sempadan ke Indonesia,” katanya yang dipetik agensi berita Antara.

Sehubungan itu, tentera Filipina berkata, sebahagian militan Daesh yang menyerang Marawi di selatan negara itu bulan lalu mungkin menyertai penduduk untuk melarikan diri ketika pertempuran yang berterusan selama hampir empat minggu.

Tentera berkata, sehingga 200 militan, kebanyakannya daripada kumpulan radikal tempatan yang melafazkan ikrar taat setia kepada Daesh dan sebahagian militan asing, masih selamat sambil menjadikan penduduk awam sebagai perisai manusia dan masjid untuk berlindung.

Kawalan keselamatan longgar itu membimbangkan negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia, dan Menteri Pertahanan serta panglima tentera ketiga-tiga negara dijangka bertemu di Tarakan hari ini bagi menghadiri upacara menandakan pelancaran rondaan di laut antara negara.

Tarakan yang terletak di selatan wilayah Borneo dan menghadap laut ke Mindanao di selatan Filipina, adalah kepulauan yang berhadapan pemberontakan dan jenayah selama beberapa dekad.

Tentera laut Indonesia juga meminta penduduk tempatan termasuk nelayan di sempadan berhadapan Filipina supaya melaporkan sebarang individu yang mencurigakan, lapor Antara.

– Reuters

scroll to top