Friday , 26 April 2019

Home » Nasional » Industri keselamatan swasta berupaya hasil produk keselamatan untuk pasaran – Dr Mahathir

Industri keselamatan swasta berupaya hasil produk keselamatan untuk pasaran – Dr Mahathir

March 21, 2019 7:33 am Category: Nasional A+ / A-
Industri keselamatan swasta berupaya hasil produk keselamatan untuk pasaran – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR,. Industri keselamatan swasta mempunyai keupayaan untuk menghasilkan produk keselamatan yang kreatif dan inovasi untuk pasaran di dalam dan luar negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata industri itu berupaya membawa masuk teknologi keselamatan yang canggih di samping berpotensi menghasilkan produk inovasi keselamatan untuk pasaran global, sekali gus memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

“Maka di sinilah letaknya cabaran kepada pengusaha industri keselamatan untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pengusaha dan pada masa sama menghasilkan produk keselamatan yang kreatif dan berinovas,” katanya pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Keselamatan Malaysia (MSIEA) 2019 di sini, malam ini.

Majlis Jamuan Malam Gala dan Anugerah MSIEA anjuran Persatuan Industri Keselamatam Malaysia (PIKM) itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PIKM, Datuk Seri Mustapa Ali.

Dr Mahathir berkata mana-mana kerajaan berdepan cabaran yang tinggi untuk memastikan keselamatan rakyatnya terjamin pada ketika dunia berdepan dengan pelbagai isu keselamatan seperti terrorisme, jenayah rentas sempadan dan ancaman keselamatan bukan tradisional.

Justeru, katanya, pengawal keselamatan swasta memainkan peranan penting dalam membantu pihak polis melaksanakan tugas mencegah jenayah melalui penyaluran maklumat dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mewujudkan suasana selamat di tempat jagaan mereka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) secara bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan imej dan kualiti perkhidmatan pegawai keselamatan swasta.

Beliau berkata kerajaan juga komited untuk mewujudkan lebih ramai pekerja tempatan yang berpengetahuan, berkualiti dan berkemahiran termasuk usaha untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ia juga termasuk kerjasama dengan universiti awam dalam negara untuk membangunkan program pengajian yang khusus bagi pegawai keselamatan selain dapat menghasilkan warga pengurusan keselamatan yang lebih mahir dan professional,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top