Friday , 15 December 2017

Home » Dunia » IOC haram Russia sertai Olimpik Musim Sejuk 2018

IOC haram Russia sertai Olimpik Musim Sejuk 2018

December 6, 2017 10:29 am Category: Dunia, Sukan A+ / A-
IOC haram Russia sertai Olimpik Musim Sejuk 2018

LAUSANNE: Russia diharamkan daripada menyertai Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), awal pagi tadi susulan program doping terancang mereka.

Bagaimanapun, atlet Russia yang bersih dibenarkan bertanding di bawah bendera Olimpik.

Hukuman itu adalah yang paling berat pernah dikenakan IOC kerana penipuan dadah dan ia hadir 65 hari sebelum Sukan Olimpik Musim Sejuk berlangsung di Pyeongchang, Korea Selatan.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Presiden IOC, Thomas Bach mendakwa Russia melakukan kesalahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berhubung integriti Sukan Olimpik dan sukan.

Laporan daripada Agensi Anti Doping Dunia (WADA) dan dua jawatankuasa siasatan IOC mengesahkan atlet Russia mengambil bahagian dalam program penipuan dadah yang kemuncaknya pada Olimpik Musim Sejuk 2014 di Sochi.

Bukti menunjukkan program berkenaan turut membabitkan pegawai kanan kerajaan, termasuk kementerian sukan dengan bantuan daripada agen rahsia negeri.

IOC juga mengenakan hukuman gantung seumur hidup ke atas Timbalan Perdana Menteri Rusia Vitaly Mutko yang menjadi menteri sukan ketika temasya berlangsung di Sochi.

Mutko kini menjadi ketua jawatankuasa penganjur untuk Piala Dunia 2018, yang menyaksikan Russia sebagai tuan rumah.

Fokus kini terarah kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sama ada masih membenarkan Presiden Russia, Vladimir Putin mengekalkan peranannya dalam penganjuran Piala Dunia susulan skandal yang melanda itu.

Dalam satu kenyataan, FIFA berkata badan induk itu memandang serius keputusan yang dibuat IOC tetapi ia tidak memberi kesan kepada persiapan penganjuran Piala Dunia 2018.

IOC turut menggantung Jawatankuasa Olimpik Russia dan ketuanya, Alexander Zhukov.

– AFP

scroll to top