Monday , 22 July 2019

Home » Nasional » Isu babitkan MAB perlu kajian mendalam – Mahathir

Isu babitkan MAB perlu kajian mendalam – Mahathir

March 24, 2019 6:56 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Isu babitkan MAB perlu kajian mendalam – Mahathir

ISLAMABAD,. Isu melibatkan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Berhad (MAB) memerlukan kajian mendalam sebelum sebarang keputusan dapat dibuat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata masalah yang berlaku disebabkan pendekatan yang dibuat kerajaan terdahulu yang tidak masuk akal.

“Kita mengurangkan 6,000 pekerja tetapi mengurangkan penerbangan ke banyak tempat. Nisbah kakitangan dengan laluan penerbangan masih sama. Kita kena fikir semula tentang MAS (MAB).

“Kalau ada mana-mana cadangan termasuk sektor swasta nak beli, kita fikirlah, ” katanya kepada media Malaysia sewaktu mengakhiri lawatan kerja rasmi beliau selama tiga hari ke Pakistan, di sini pada Sabtu.

Pada 5 Mac, Khazanah Nasional, sayap pelaburan kerajaan, dilaporkan mengalami rosot nilai RM7.3 bilion pada tahun lepas dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh MAB.

Khazanah merupakan satu-satunya pemegang saham MAB setelah mengambil alih syarikat penerbangan itu pada 2014 dan ia telah menyuntik dana sebanyak RM6 bilion untuk membaiki prestasi syarikat namun usaha tersebut gagal.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji pelbagai opsyen sebelum membuat keputusan mengenai masa depan Malaysia Airlines sama ada akan menutup, menjual atau membiayainya semula.

Ditanya mengenai langkah pengeluar kereta nasional Malaysia Proton untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam mewujudkan kilang pemasangan tempatan di Pakistan, Dr Mahathir berkata langkah itu lebih baik untuk Proton memasuki pasaran negara seperti Pakistan berbanding negara maju.

“Biasanya kita memilih negara yang jauh lebih maju tetapi negara maju tidak begitu mudah untuk memindahkan teknologinya kepada orang lain. Ia bagi teknologi sedikit sahaja. Kita mempunyai peluang untuk masuk di sini, mungkin kita dapat kerjasama dalam satu industri dengan Pakistan.

“Apabila mereka boleh menerima cadangan untuk buat kereta kita dengan kita, saya rasa ia baik. Kalau mereka boleh buat kenderaan tentera, saya fikir yang lain-lain tidak susah bagi mereka, ” katanya.

Pada Jumaat, Dr Mahathir dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan telah menyempurnakan upacara simbolik pecah tanah bagi kilang pemasangan Proton di negara itu.

Kilang pemasangan itu akan dibina berdekatan dengan Karachi, wilayah Sindh dan akan menjadi kilang pertama Proton di rantau Asia Selatan.

— BERNAMA

scroll to top