Thursday , 13 December 2018

Home » Nasional » Isu kos selenggara PPA1M dibincang dengan KSN

Isu kos selenggara PPA1M dibincang dengan KSN

January 14, 2018 6:40 pm Category: Nasional A+ / A-
Isu kos selenggara PPA1M dibincang dengan KSN

PUTRAJAYA,. Kementerian Wilayah Persekutuan akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, berhubung kos penyelenggaraan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Putrajaya.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kos penyelenggaraan berkenaan yang berjumlah RM244 sebulan, menyebabkan pembeli rumah di bawah program itu, berasa terbeban kerana disifatkan agak tinggi.

“Kita akui, pembeli tidak dimaklumkan pemaju tentang kos penyelenggaraan dan kos sampingan lain ketika pembelian rumah ini.
FormatFactoryDENAN1
“Kementerian melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) akan mengadakan perbincangan dengan KSN bagi mencari penyelesaian berhubung isu ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk PPA1M Palma Kali Pertama di Presint 11, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail dan Pengerusi Persatuan PPA1M Palma, Mohd Azlan Ali.

Tengku Adnan berkata, mengikut Akta Hakmilik Strata, pemilik yang memiliki kediaman sendiri perlu menanggung kos yang dikenakan oleh pihak pengurusan perumahan.

“Pembeli PPA1M perlu membayar kos penyelanggaran RM0.17 bagi setiap kaki persegi (kp) dan rumah ini mempunyai keluasan antara 1000 hingga 1200 (kp).

Jumlah berkenaan membebankan pembeli yang rata-rata mempunyai pendapatan yang sederhana,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, berkata PPj tidak dapat menampung kos penyelenggaraan itu kerana mempunyai kekangan kewangan lain.

Selain itu, beliau juga turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa bersatu padu dan mengadakan perbincangan jika timbul sebarang masalah.

“Kerajaan akan sentiasa memberikan keselesaan kepada rakyat dan setiap kekangan yang dihadapi pasti ada jalan penyelesaian.

“Saya berharap pihak persatuan dapat mengadakan perbincangan lanjut berhubung kos penyelenggaraan ini bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat bersama,” katanya.

scroll to top