Friday , 21 September 2018

Home » Bisnes » ITEX pamer 1,000 rekaan dari 20 negara

ITEX pamer 1,000 rekaan dari 20 negara

May 8, 2018 3:02 pm Category: Bisnes A+ / A-
ITEX pamer 1,000 rekaan dari 20 negara

KUALA LUMPUR,. Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) yang bakal berlangsung dari 10 hingga 12 Mei ini bakal mempamerkan lebih 1,000 inovasi daripada lebih 20 negara yang mengambil bahagian.

Antara negara yang terbabit pada edisi ke-29 penganjuran pameran berkenaan termasuklah China, Thailand, Indonesia, Poland, Bangladesh, Yaman, Bahrain, Korea dan juga Kuwait.

Pameran berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Rekaan dan Inovasi Malaysia (MINDS) kerjasama strategik C.I.S Network Sdn Bhd.

Menurut Presiden MINDS yang juga ahli akademik, Tan Sri Emeritus Professor Dr Augustine S. H. Ong, penganjuran sesebuah pameran rekaan adalah amat mencabar kerana pihaknya harus sentiasa mencari perkara baharu untuk dipertontonkan.

“Inovasi terbabit juga haruslah sesuatu bukan hanya di Malaysia tetapi juga kepada dunia dan itu juga adalah satu cabaran yang besar.

“Bagaimanapun, pameran ITEX mempunyai kredibilitinya yang tersendiri dan telah menjadi testimoni bahawa rakyat tempatan juga boleh mencipta sesuatu yang baharu di semua peringkat, daripada pelajar muda hinggalah kepada profesor di universiti.

“Pameran ini terbuka kepada semua pencipta dan objektif utamanya adalah untuk membantu pencipta bertemu dengan pelabur berpotensi yang bileh memberikan penghargaan kepada hasil kerja mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai lebih 100 juri yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam menilai rekaan baharu turut sama terbabit dengan pameran berkenaan.

“Saya teruja dengan penganjuran pameran tahun ini dan berharap dapat melihat lebih lagi rekaan dalam bidang Revolusi Industri 4.0, kepintaran buatan dan sebagainya,” katanya.

ITEX adalah peneraju pameran di rantau ini yang mempamerkan rekaan, teknologi dan produk baharu yang menyasar prospek pelaburan, pembuatan dan komersial.

scroll to top