Friday , 21 June 2019

Home » Nasional » JAINJ panggil pengurusan sekolah tahfiz

JAINJ panggil pengurusan sekolah tahfiz

April 27, 2017 4:39 pm Category: Nasional A+ / A-
JAINJ panggil pengurusan sekolah tahfiz

PENASIHAT Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot.

JOHOR BAHRU: Majlis Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) akan memanggil semua wakil sekolah tahfiz agama di negeri ini dalam tempoh terdekat dalam usaha menambah baik sistem pentadbiran institusi tahfiz di Johor.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot, berkata pertemuan itu akan diadakan dengan pengetua sekolah secepat mungkin bagi menambah baik prosedur pengurusan sedia ada dalam sistem pengajian pusat tahfiz di Johor.

Katanya, tindakan itu dijalankan susulan kematian pelajar madrasah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, akibat komplikasi kesihatan selepas didakwa dirotan oleh pembantu warden di madrasahnya.

“Kita (JAIJ dan MAINJ) tidak hanya memberi tumpuan kepada pusat tahfiz swasta tetapi turut membabitkan pusat tahfiz awam supaya dapat mencari jalan penyelesaian bagi mempertingkatkan peranan institusi agama.

“Kita juga mahu memastikan institusi tahfiz ini menambah baik pengurusan mereka khususnya membabitkan kebajikan dan pendidikan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Multaqa Ulama Darul Ta’zim kali ke-5 bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Sultan Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Nooh berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan garis panduan tertentu yang perlu dipatuhi oleh institusi tahfiz di Johor termasuk pelaksanaan pendidikan akademik dan tidak hanya tertumpu kepada pengajian al-Quran.

scroll to top