Monday , 20 August 2018

Home » Nasional » Jangan ambil mudah Institusi Raja – Titah Agong

Jangan ambil mudah Institusi Raja – Titah Agong

June 15, 2018 5:33 am Category: Nasional A+ / A-
Jangan ambil mudah Institusi Raja – Titah Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

KUALA LUMPUR,. Rakyat diminta tidak mengambil mudah dan diperbuat sesuka hati institusi raja khususnya Yang di-Pertuan Agong dalam amalan Raja Berperlembagaan.Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, bertitah ini kerana ia adalah institusi yang diiktiraf secara terang dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, baginda bertitah hal itu perlu diambil berat oleh semua pihak dan tidak mengikut budaya masyarakat Barat yang tindakan mereka bersandarkan emosi tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya kepada negara.

“Institusi Yang di-Pertuan Agong pada hemat Beta, sewajibnya bukan sekadar diambil daripada sudut simbol semata-mata namun ketahuilah institusi ini ada tanggungjawab amat besar, apabila berlakunya sesuatu krisis dalam menstabilkan keadaan supaya tidak menjadi kemudaratan kepada rakyat dan negara,” titah baginda menerusi perutusan Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi RTM, malam ini.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.

Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengekalkan perpaduan dan keharmonian dengan menghulur tangan saling bermaaf-maafan dalam menyambut ketibaan 1 Syawal.

Sultan Muhammad V juga bertitah rakyat perlu menyuburkan budaya kunjung mengunjung di hari yang mulia ini bagi mengeratkan silaturahim.

“Hentikanlah dan lupakan pertelingkahan sesama umat sempena hari yang mulia ini. Jauhi fitnah memfitnah kerana dosa fitnah lebih dashyat daripada membunuh,” titah baginda.

Baginda turut bertitah bahawa masyarakat Melayu Islam khususnya akan hanya kekal diberkati jika bersendikan adat dan bertunjangkan syarak.

“Justeru, sempena menyambut Hari Lebaran Syawal yang mulia ini, jadikanlah apa yang Beta titahkan ini sebagai satu pesanan yang bermakna daripada raja kepada rakyat dan negara yang dikasihi.

“Beta harapkan semoga dengan tarbiah di madrasah Ramadan selama sebulan mampu menjadikan kita insan bertaqwa dan kembali kepada fitrah, yang bakal melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan berintegriti untuk memacu reformasi ke arah mencapai negara maju.

“Makmur dan mendapat pengampunan Allah (Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur),” titah baginda.

Dalam titah baginda, Sultan Muhammad V turut berpesan kepada rakyat yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya mengutamakan keselamatan dalam perjalanan.

“Berhati-hati memandu, elakkan kemalangan supaya kita tidak bersedih dalam kegembiraan.

“Harapan beta semoga sambutan Aidilfitri kali ini memberi makna dan impak yang besar kepada kita dalam melaksanakan tugas sebagai hamba Allah Subhanahu Wata\’ala dan khalifah di bumi Allah ini,” titah baginda.

— BERNAMA

scroll to top