Sunday , 26 May 2019

Home » Dunia » Jarum suntikan tercemar, ratusan kanak-kanak selatan Pakistan positif HIV

Jarum suntikan tercemar, ratusan kanak-kanak selatan Pakistan positif HIV

May 16, 2019 2:24 pm Category: Dunia A+ / A-
Jarum suntikan tercemar, ratusan kanak-kanak selatan Pakistan positif HIV

Gambar hiasan

RATO DERO (PAKISTAN),. Golongan ibu bapa memerhati dengan penuh debaran ketika anak mereka menjalani ujian HIV di sebuah perkampungan di selatan Pakistan selepas ratusan penduduk dijangkiti virus berbahaya itu gara-gara penggunaan jarum suntikan tercemar oleh doktor.

Pasukan polis turut dikerahkan ke lokasi bagi mengawal keadaan selepas ibu bapa menyerbu lima bilik pemeriksaan yang siap dibina bulan lalu di perkampungan Wasayo, pinggir Larkana di wilayah Sindh.

Menurut pegawai kesihatan, lebih daripada 400 penduduk, kebanyakannya kanak-kanak didapati positif HIV sejak beberapa minggu lalu dan pakar memberi amaran, jumlah berkenaan bakal meningkat susulan penggunaan peralatan tercemar serta amalan perubatan salah oleh golongan doktor palsu.

Kemarahan dan ketakutan dilihat menyelubungi perkampungan miskin akibat penyebaran wabak itu yang disifatkan pihak berkuasa berpunca dari kecuaian atau perbuatan khianat doktor tempatan.

“Mereka datang beramai-ramai,” kata seorang doktor di klinik mudah alih berkenaan yang berdepan masalah kekurangan peralatan dan tenaga kerja untuk merawat sejumlah besar pesakit.

Mukhtar Perves dilihat begitu resah menanti anak perempuannya menjalani ujian dan khuatir jika demam dihidapi anaknya baru-baru ini memiliki kaitan dengan wabak itu manakala bagi segelintir penduduk lain, mimpi ngeri mereka sudah bertukar menjadi kenyataan.

Nisar Ahmed tiba di klinik dengan penuh kemarahan ketika cuba mendapatkan ubat bagi anak perempuannya yang hanya berusia setahun tetapi disahkan positif HIV tiga hari lalu.

“Saya sumpah (doktor itu) yang menyebabkan semua anak-anak ini dijangkiti virus berbahaya ,” katanya berang.

Imam Zadi pula menemani lima anaknya yang lain selepas cucu lelaki beliau disahkan positif HIV.

“Seluruh keluarga amat berduka cita,” katanya. – AFP

scroll to top