Saturday , 17 November 2018

Home » Nasional » Jawatan kekal jika boleh diikat jamin

Jawatan kekal jika boleh diikat jamin

October 18, 2018 1:04 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Jawatan kekal jika boleh diikat jamin

Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR,. Status Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ketua pembangkang masih kekal sekiranya pertuduhan terhadap Presiden UMNO itu boleh diikat jamin.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata lagipun masih terlalu awal untuk menilai kedudukan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, ini kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih dalam proses pendakwaan.

“Masih terlalu awal (menilai kedudukan sebagai ketua pembangkang) kerana beliau (Ahmad Zahid) belum lagi dituduh. Apabila beliau dituduh dan pertuduhan itu dijangka bersifat ‘bailable offence’ (kesalahan yang boleh diikat jamin).

“Mengambil kira situasi berkenaan, kedudukan beliau tidak terjejas dari sudut undang-undang, lagipun ia cuma notis biasa berkaitan dengan penyiasatan sama ada tahan atau tidak itu masih lagi spekulasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid dijangka akan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, berdasarkan pendedahan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut oleh SPRM minggu lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Zahid adalah pengerusi yayasan itu yang ditubuhkan pada 1977 dengan misi menghapuskan kemiskinan.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan memaklumkan pegawainya tersilap menggunakan wang yayasan itu bagi membayar bil kad kreditnya.

scroll to top