Tuesday , 23 July 2019

Home » Sukan » Jongkong emas atlet negara akan dipasarkan

Jongkong emas atlet negara akan dipasarkan

July 11, 2019 9:49 am Category: Sukan A+ / A-
Jongkong emas atlet negara akan dipasarkan

Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (Gambar fail)

KUALA LUMPUR,. Rancangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) mengumpul dana bagi membantu bekas atlet dengan menjual jongkong emas bakal direalisasikan dalam masa terdekat.

Pengerusi YAKEB Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata jongkong emas seberat 0.5 gram yang didatangkan dalam bentuk seperti kad itu merupakan inisiatif bagi memperingati perjuangan legenda sukan negara.

Sebagai pengenalan, beliau berkata YAKEB menyenaraikan tiga atlet legenda kebangsaan iaitu bekas jaguh bina badan Datuk Abdul Malek Noor, Olahragawati Kebangsaan Datuk M. Rajamani, dan jaguh berbasikal Datuk Ng Joo Ngan.

“Jongkong emas itu akan mempamerkan wajah bekas-bekas atlet negara berserta catatan prestasi cemerlang pencapaian mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Noorul berkata setakat ini, YAKEB mempunyai 2,585 ahli, terdiri daripada 91 bekas atlet kelainan upaya (OKU) dan 2,494 atlet normal.

Menurut Noorul, sehingga Jun ini, YAKEB mencatatkan pengeluaran wang sejumlah kira-kira RM600,000 bagi tujuan menampung kos perubatan bekas atlet dan bantuan kewangan sebanyak RM74,000.

Katanya kerajaan telah memperuntukkan dana RM3 juta kepada YAKEB sebagai tanda keprihatinan kepada bekas atlet kebangsaan.

YAKEB sebelum ini mengumumkan ‘Tabung YAKEB for X-Athletes’ selepas mendapat kerjasama daripada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang telah meletakkan sebanyak 70 tabung kutipan di sekitar Lembah Klang.

Sebagai usaha memastikan kebajikan bekas atlet terjamin, beliau berkata YAKEB akan memulakan jerayawara sulungnya bermula di Negeri Sembilan, 20 Julai ini dan akan bergerak ke negeri lain bagi menggalakkan pendaftaran atlet yang bersara.

“Atlet yang akan bersara juga diminta segera berdaftar dengan YAKEB jika mahu kebajikan mereka terpelihara,” katanya.

scroll to top