Sunday , 24 June 2018

Home » Bisnes » Jualan MIHAS 2018 Dijangka Mengatasi Angka RM1.01 Bilion Sebelum Ini

Jualan MIHAS 2018 Dijangka Mengatasi Angka RM1.01 Bilion Sebelum Ini

March 14, 2018 7:13 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Jualan MIHAS 2018 Dijangka Mengatasi Angka RM1.01 Bilion Sebelum Ini

Dr Ir Mohd Shahreen Zainooreen Madros

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjangkakan jualan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 naik lima hingga tujuh peratus dan mengatasi angka RM1.01 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelum ini.

MIHAS 2018, pameran perdagangan halal global kali ke-15 itu akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) mulai 4 hingga 7 April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Dr Ir Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata sejumlah 90 peratus daripada 1,100 gerai pameran telah ditempah, 55 peratus oleh pempamer tempatan dan bakinya oleh peserta luar dari 30 buah negara.

Pempamer Thailand menempah paling banyak gerai iaitu 51 buah, diikuti dengan Indonesia (48), Iran (40), Taiwan (39) serta China (35), kebanyakannya daripada industi makanan dan minuman.

“Industri makanan dan minuman (F&B) dijangka menguasai MIHAS 2018, manakala peserta lain merangkumi sektor perkhidmatan, kosmetik, farmaseutikal dan perbankan,” katanya kepada Bernama ketika melawat ibu pejabat agensi berita itu hari ini.

MIHAS 2017 juga didominasi oleh industri F&B pada 68 peratus, diikuti oleh perkhidmatan (22 peratus) dan sektor bukan makanan (10 peratus).

Beliau ketika bercakap mengenai jualan tahun lepas, memberitahu urus niaga barangan pengguna bergerak pantas dibuat secara langsung semasa pameran, sementara urus niaga membabitkan perkhidmatan kebanyakannya dilakukan selepas acara itu tamat, oleh itu, nilai terbitan MIHAS adalah jauh lebih baik daripada nilai yang didaftarkan.

China sentiasa menjadi pembeli utama sejak beberapa tahun lepas, katanya.

Beliau berkata Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) akan diadakan pada 3 April bersempena dengan MIHAS 2018, dengan 217 syarikat asing dijangka mengambil kesempatan daripada mesyuarat padanan perniagaan.

Pada 2017, INSP menjana kira-kira RM300 juta daripada 2,064 mesyuarat perniagaan yang telah diatur, melibatkan 475 syarikat Malaysia dan 172 pembeli asing dari 44 negara, menyumbang kira-kira 30 peratus kepada jumlah jualan tahun lepas.

Komposisi jualan tahun ini dijangka kekal sama seperti tahun lepas, katanya.

Selain berpindah ke tempat baharu, MIHAS 2018 akan memperkenalkan beberapa acara baharu, seperti Persidangan Pembiayaan Perdagangan Halal dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan Persatuan Institusi Perbankan Islam, Seminar Pelancongan Halal bersama dengan CrescentRating serta Mastercard, dan My [email protected] dengan kerjasama Bioeconomy Corporation.

— BERNAMA

scroll to top