Tuesday , 23 October 2018

Home » Bisnes » KAB bida projek RM337j di Lembah Klang

KAB bida projek RM337j di Lembah Klang

May 21, 2018 3:09 pm Category: Bisnes A+ / A-
KAB bida projek RM337j di Lembah Klang

KUALA LUMPUR,. Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB), pakar kejuruteraan mekanikal dan eletrikal, sedang membida beberapa projek baharu sekitar Lembah Klang yang dianggarkan bernilai RM337 juta.

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn, berkata KAB kini dalam usaha untuk mendapatkan tender dan optimis peluang syarikat bagi mendapatkan projek berkenaan antara 20 hingga 30 peratus berdasarkan prestasi syarikat beberapa tahun sebelum ini.

“Pembidaan projek berkenaan adalah antara langkah pengembangan operasi syarikat pada masa depan,” katanya selepas mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kali pertama, di sini, hari ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, KAB merekodkan pendapatan sebanyak RM114.55 juta dan keuntungan selepas cukai berjumlah RM6.78 juta.

Keng Onn berkata, selain memfokuskan segmen elektrikal dan mekanikal yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan syarikat, KAB juga meninjau peluang baharu dalam segmen alat pendingin hawa dan sistem pengudaraan.

“Selain itu, kami juga akan memperluaskan operasi di kawasan selatan dan utara menerusi pembukaan cawangan baharu di Johor dan Pulau Pinang.

“Cawangan di Johor yang membabitkan perbelanjaan modal dianggarkan RM300,000 dijangka siap tahun ini akan memfokuskan beberapa projek elektrikal dan hartanah, manakala cawangan di Pulau Pinang masih dalam perancangan,” katanya.

Pada masa sama katanya, KAB juga menyasarkan kepada pembangunan hartanah pada separuh kedua tahun ini terutama dalam pembinaan rumah mampu milik.

Mengulas mengenai pentadbiran kerajaan baharu, beliau menjangkakan pertumbuhan industri di Malaysia akan lebih positif pada masa depan.

“Langkah kerajaan untuk mengkaji semula beberapa projek yang dijalankan di negara ini memberi lebih peluang kepada peserta industri tempatan untuk mengambil bahagian.

“Meskipun terlalu awal untuk membuat jangkaan, tetapi pasaran menunjukkan perkembangan sangat positif.

“Ia menunjukkan persekitaran yang baik dan penerimaan optimis terhadap kerajaan baharu. Memang ia berita baik untuk kami,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga menjangkakan pelaburan dari sektor awam dan swasta dalam industri hartanah dan pembinaan Malaysia kekal kukuh menerusi permintaan tinggi berterusan bagi rumah mampu milik, sekaligus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Mengulas mengenai kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Keng Onn berkata, ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan aliran tunai syarikat pada jangka pendek serta memberi lebih keyakinan kepada pengguna untuk berbelanja.

Info:

– Jumlah tempahan projek KAB pada masa ini hingga 2020 bernilai RM223 juta.

scroll to top