Saturday , 18 August 2018

Home » Dewan Rakyat » Kadar Hutang Negara Masih Terurus – PM Najib

Kadar Hutang Negara Masih Terurus – PM Najib

March 13, 2018 10:24 am Category: Dewan Rakyat, Ekonomi, Nasional, Politik A+ / A-
Kadar Hutang Negara Masih Terurus – PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR,Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, menegaskan bahawa kadar hutang negara masih terurus dan tidak melebihi 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata tahap keberhutangan negara kini berada di paras 50.8 peratus daripada jumlah KDNK.

“Ini bermakna kedudukan hutang kita masih terurus dan Malaysia dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana jika hendak dibandingkan dengan beberapa negara maju, di mana hutang kerajaannya berbanding KDNK jauh lebih tinggi sehingga ada yang melebihi 200 peratus,” katanya pada persidangan dewan rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Tan Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad (Mukah-BN) mengenai langkah jangka panjang kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara khususnya penarafan kredit bagi mengekalkan kemampanan defisit negara pada kadar yang rendah serta memastikan pertumbuhan yang stabil.

Najib turut membidas tanggapan bahawa Malaysia adalah sebuah negara bangkrap.

“Kita tahu apa yang mereka (pembangkang) katakan di luar negara. Apa yang mereka katakan tiada asas. Kalau ada pihak kata bahawa Malaysia ini bangkrap, failed state (negara yang gagal), itu adalah satu pembohongan yang jelas,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus menyediakan perancangan ekonomi dan kewangan bagi jangka masa panjang untuk mencapai sasaran status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan saiz ekonomi meningkat kepada RM2 trilion pada 2025.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh sekadar mengambil pendekatan popular sahaja. Sebaliknya kita perlu lebih bertanggungjawab dan melaksanakan apa yang perlu bagi menyediakan asas ekonomi serta kewangan yang kukuh demi kepentingan rakyat dan generasi masa hadapan,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top