Friday , 21 June 2019

Home » Dunia » Kajian Bank Dunia gagal beri gambaran sebenar kebersihan India

Kajian Bank Dunia gagal beri gambaran sebenar kebersihan India

May 17, 2019 11:15 am Category: Dunia A+ / A-
Kajian Bank Dunia gagal beri gambaran sebenar kebersihan India

KOPPAL (INDIA,. Setiap pagi sekitar waktu subuh, puluhan penduduk akan berhimpun di tebing sungai yang mengalir menerusi perkampungan Shikrawa, dua jam dari ibu negara India untuk tujuan sama iaitu membuang air besar secara terbuka.

“Terdapat hampir 1,600 kediaman di Shikrawa dan saya tahu hampir 400 daripadanya tidak memiliki tandas, kata pegawai tempatan kampung, Khurshid Ahmed di Shikrawa yang terletak di Haryana, utara India.

Rekod kerajaan persekutuan mencatatkan bahawa Haryana dengan jumlah penduduk melebihi 25 juta berada dalam keadaan bersih.

Negeri itu bersama sebahagian besar yang lain di India dianggap bebas dari perbuatan membuang air besar secara terbuka manakala kajian oleh Bank Dunia mendapati hanya 0.3 peratus dari penduduk Haryana berbuat demikian.

Namun tinjauan membabitkan puluhan responden dalam kajian Bank Dunia itu dan dua penyelidik semuanya menimbulkan persoalan sama mengenai kaedah kajian berkenaan dan penemuan dihasilkan.

Di Shikrawa, temuramah bersama 27 individu menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 330 penduduk masih membuang air besar secara terbuka kerana kekurangan tandas dan bekalan air bersih atau tabiat sejak sekian lama malah senario sama turut berlaku di perkampungan Nangla Kanpur, tidak jauh dari situ.

Kajian mendapati perbuatan membuang air besar secara terbuka memberi kesan kepada kesihatan kerana meningkatkan jumlah kehadiran parasit dalam air akibat pencemaran.

Menurut Bank Dunia pada tahun 2016, satu daripada setiap 10 kematian di India adalah akibat kebersihan yang tidak terjaga.

Kekurangan tandas ini turut memberi impak negatif terhadap golongan wanita kerana terpaksa berjalan jauh pada waktu malam atau sebelum matahari terbit semata-mata untuk membuang air besar, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jenayah seksual.

Pada 2014, Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan kempen ‘India Bersih’ atau ‘Swacch Bharat’ dan berikrar menghapuskan ‘tandas terbuka’ ini dalam tempoh lima tahun di seluruh negara.

Modi yang berusaha mengekalkan kedudukan untuk penggal kedua sering menggunakan kejayaan Swacch Bharat dalam setiap kempen, termasuk membina lebih daripada 100 juta tandas.

Swacch Bharat, sebuah program bernilai bilion dolar yang mendapat peruntukan kerajaan dan pinjaman Bank Dunia berjaya membina banyak tandas namun statistik rasmi menunjukkan kerajaan terlebih optimis dalam menghebahkan perkara itu.

“Tujuan utama program ini adalah kesihatan orang ramai dan sangat malang apabila data diperoleh memberikan gambaran yang salah,” kata penyelidik berhubung kajian Bank Dunia itu, Payal Hathi. – Reuters

scroll to top