Sunday , 16 December 2018

Home » Artikel Pilihan » Karisma pemimpin lama atau ketandusan pemimpin muda

Karisma pemimpin lama atau ketandusan pemimpin muda

June 14, 2018 8:40 am Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
Karisma pemimpin lama atau ketandusan pemimpin muda

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebenarnya satu titik pemula kepada rakaman sejarah politik yang sangat signifikan dan unik untuk peradaban moden Malaysia.

Mana tidaknya, peristiwa dan naratif yang berlaku sekarang hanyalah satu ulangan dan pusingan kepada proses sejarah Malaysia sekurang-kurangnya untuk tempoh empat dekad ke belakang bermula dari era 1980-an, 1990-an, dekad 2000 dan 2010.

Sedar atau tidak, watak politik utama yang terzahir sekarang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hadi Awang mewakili empat dekad sejarah politik negara sejak dahulu sehingga kini.

Persoalannya, adakah perkembangan ini menunjukkan ahli politik Malaysia mempunyai ketahanan populariti dan karisma yang sangat lama untuk satu-satu masa sehingga tokoh politik baharu dan persekitaran serta rakyat menganggap penampilan dan idea mereka masih relevan.

Atau, Malaysia sebenarnya ketandusan tokoh muda yang benar-benar layak untuk menerajui sejarah dan perubahan negara dengan pantas?

Dr Mahathir, Anwar bersatu

Dalam konteks ini, barang kali rakyat Malaysia sendiri tidak terfikir dan aneh bagaimana tokoh seperti Dr Mahathir dan Anwar kembali ke persada politik ‘menerajui’ negara secara bersama semula selepas era 1990-an dahulu.

Peristiwa pemecatan Anwar pada 1998 dan bersaranya Dr Mahathir pada 2003, seolah-olah menghentikan episod sejarah itu di situ.

Ironinya, tiada siapa pun terfikir yang mereka berdua kembali ‘bersatu’ menerajui dan mewarnai politik negara pada 2018, iaitu 20 tahun selepas gandingan politik mereka berakhir dan bersengketa pada 1998.

Dengan Najib dan UMNO-Barisan Nasional (BN) menjadi sasaran perubahan politik rakyat, kemunculan kembali Dr Mahathir dan Anwar turut diiringi kemunculan tokoh lama seperti Tun Daim Zainudin, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz.

Yang berbeza hanyalah wadah parti yang berubah dengan gabungan baharu Pakatan Harapan (PH) muncul menggantikan gabungan feudal BN.

Ini bermakna peralihan dan perubahan era politik Malaysia masih digerakkan oleh aktor politik sama sejak empat dekad yang lalu.

Ironinya, ketika Dr Mahathir dan Anwar seolah-olah kembali ‘bersatu’, UMNO yang kehilangan kuasa sekarang mahu mengangkat kembali ketokohan Tengku Razaleigh.

Kerabat diraja Kelantan itu berehat agak lama dalam konteks politik nasional untuk memimpin parti Melayu berkenaan selepas tewas teruk pada PRU-14.

Sekali lagi, bekas ‘musuh’ politik Dr Mahathir ini dilihat paling layak untuk memimpin dan berdepan dengan Perdana Menteri Malaysia Ketujuh.

Pemimpin muda

Adakah senario yang berlaku ini menunjukkan Malaysia lambat bergerak untuk melahirkan pemimpin muda bagi menerajui negara?

Jawapannya pasti tidak juga kerana negara mempunyai ramai tokoh politik baharu mewakili generasi muda seperti Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Aziz.

Cuma barang kali sejarah yang terhenti pada episod 1998, 20 tahun yang lalu perlu dilangsaikan sekarang secara harmoni.

Kemunculan dua negarawan ‘transisi’ seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib selepas era Anwar dan Dr Mahathir hanyalah faktor pendorong untuk membolehkan episod 1998 dilangsaikan dengan baik pada hari ini.

Dua puluh tahun adalah satu tempoh yang panjang. Walaupun sesetengah pihak melihat ini sebagai satu proses evolusi kepada perubahan institusi negara, tempoh ini juga sebenarnya melambatkan proses kemudaan politik bagi Malaysia.

Aktor lamanya perlu kembali dan masih beraksi untuk menyelesaikan apa yang mereka belum selesaikan secara bersama 20 tahun yang lalu.

Namun, pada fikiran penulis, wacana sebenar falsafah sejarah yang mendorong segala peristiwa, isu dan konflik yang berlaku sekarang adalah kerana faktor ‘tajdid’ dan pengislahan negara.

Agenda tajdid, islah

Sampai pada masanya kini, semua pihak sama ada kerajaan mahu pun pembangkang perlu berperanan menggerakkan agenda tajdid dan pengislahan negara ke arah yang lebih baik.

Sejarah yang berlaku pada 1998 adalah permulaan kepada proses itu.

Tertakdirnya dua aktor yang sama, Dr Mahathir dan Anwar perlu kembali berperanan melunaskan agenda tajdid negara yang mereka impikan dahulu dalam wadah berbeza sekarang, iaitu PH.

Bagi UMNO-BN dan PAS, keberadaan mereka di barisan pembangkang ialah peluang terbaik bagi melakukan proses pengislahan dan tajdid parti untuk kembali bangkit menjadi kuasa politik baharu pada masa depan.

Bahkan wajib mereka menjadi pembangkang yang membina pada masa sekarang.

Sesungguhnya benarlah apa yang dicatatkan oleh Ibn Khaldun dalam adikaryanya, Muqaddimah bahawa apabila sesuatu kuasa yang berada di puncak itu alpa, maka akan jatuhlah kuasa itu dan digantikan dengan kuasa lain yang lebih baharu dan segar.

Namun, sesiapa pun masih bingung dan tidak percaya ‘gandingan’ Dr Mahathir dan Anwar kini kembali beraksi sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun sehingga tibanya PRU-15 kelak.

Penulis adalah Pengerusi Pusat Rantau Timur Tengah dan Nusantara, Fakulti Pengajian Islam, UKM

scroll to top