Thursday , 18 January 2018

Home » Artikel Pilihan » Kawal kuasa jari generasi muda

Kawal kuasa jari generasi muda

December 14, 2017 1:46 pm Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
Kawal kuasa jari generasi muda

Sehingga kini media baharu dan media sosial masih lagi menguasai dan mampu memainkan peranan ke arah pembentukan sesebuah kerajaan. Peranan dan kuasa media baharu ini jangan dipandang ringan dan mudah oleh parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Kuasanya terletak pada tangan dan jari orang muda yang kebanyakannya menguasai media baharu dan media sosial. Apa yang paling penting persepsi tepat dan betul dengan akal bijaksana dapat menguasai apa yang ingin ditulis dan disampaikan kepada masyarakat.

Lantaran itu, sebagai generasi muda mestilah menghantar mesej yang baik dan tepat tentang pembangunan masa depan, terutama perkara berkaitan agama, bangsa dan negara. Jangan sekali-kali gadaikan negara dengan tulisan atau mesej yang boleh menghancurkan kehidupan kita selama-lamanya.

Oleh itu, pemahaman tentang sejarah pembentukan negara, Perlembagaan Persekutuan, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan, pemahaman atau rancangan kerajaan pada masa depan juga mestilah menjadi agenda untuk disampaikan kepada masyarakat dan rakyat di negara ini.

Sehebat mana sekalipun kuasa media baharu dan media sosial ia mestilah dipandu dengan pemikiran yang berwawasan, pandangan bijaksana, idea bernas dan berilmu bagi membangunkan negara selepas pilihan raya.

Elak prasangka buruk

Pandangan negatif, bercampur fitnah, tidak logik dan penuh dendam seharusnya diketepikan bagi mengelakkan prasangka buruk yang boleh mempengaruhi masyarakat, terutama pengundi yang akhirnya menjerumuskan masa depan dan negara kepada kehancuran.

Masyarakat kita sudah bijak dan kebanyakannya terpelajar serta mampu menilai mana baik dan mana buruk dalam menentukan hala tuju negara. Oleh itu, pengendali media baharu dan media sosial serta blog mesti bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang mesti betul tepat dan berilmu.

Jika ditinjau kebanyakan bahan yang disampaikan dalam media baharu dan media sosial masih boleh dipertikaikan kesahihannya. Ada unsur fitnah, bidaah, prasangka, tohmah, tuduhan tanpa bukti.

Lantaran itu, unsur ilmu dan kebenaran yang dapat dibuktikan memang kurang dalam penyampaian maklumat. Hal inilah kadang-kadang menjadikan orang mudah percaya sedangkan maklumat palsu yang diputar-belit dan disampaikan berkali-kali sehingga orang ramai pun yakin dan percaya.

Usah sebar berita tanpa bukti

Keyakinan dan kepercayaan ini memang banyak mempengaruhi pengundi, terutama dalam pilihan raya lalu. Oleh itu, sebagai pengendali media baharu dan media sosial jangan hanya menyampaikkan sesuatu berita bersandarkan persepsi dan tidak mempunyai bukti kukuh.

Kesannya amat bahaya kerana ia boleh meruntuhkan sebuah negara, meruntuhkan tamadun bangsa dan merosakkan nilai baik yang telah kita bangunkan sejak puluhan tahun dalam sebuah negara yang merdeka, aman dan sejahtera.

Perkara terpenting ialah pengendali media baharu dan media sosial mesti berilmu, beriman dan bijaksana menyampaikan berita dan maklumat. Jika berita yang tidak sahih disampaikan ia akhirnya akan beri kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara dalam jangka masa yang lama.

scroll to top