Saturday , 15 December 2018

Home » Bisnes » Kawal Selia Sandbox Negara jamin ekosistem pikat pelaburan

Kawal Selia Sandbox Negara jamin ekosistem pikat pelaburan

February 14, 2018 3:01 pm Category: Bisnes A+ / A-
Kawal Selia Sandbox Negara jamin ekosistem pikat pelaburan

Tan Sri Irwan Serigar Abdullah

PUTRAJAYA,. Kementerian Kewangan memulakan pelaksanaan inisiatif Kawal Selia Sandbox Negara, yang membabitkan pewujudan kelompok percambahan minda daripada pengawal selia dan peserta industri terpilih.

Ia bagi membolehkan golongan inovator menguji penyelesaian atau produk masing-masing dalam satu persekitaran yang kondusif serta selamat.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah, berkata inisiatif berkenaan akan membolehkan pengawal selia dan peserta industri berinteraksi bagi membincang keperluan penyesuaian peraturan serta garis panduan untuk merancakkan industri.

“Ini seterusnya menjadikan negara lebih berdaya saing serta berupaya menarik pelaburan dari dalam dan luar negara,” katanya pada taklimat pelaksanaan inisiatif Kawal Selia Sandbox di sini, hari ini.

Irwan berkata, di bawah inisiatif itu, golongan inovator, korporat serta orang awam boleh mengemukakan penyelesaian atau produk ke sandbox untuk diuji dan jika terbukti sesuai selepas proses eksperimen, ia boleh diluluskan untuk dilaksanakan.

Jika perlu, beliau berkata undang-undang yang sesuai boleh dipinda untuk membolehkan pelaksanaan inisiatif baharu.

Kawal Selia Sandbox Negara dipacu boleh Kementerian Kewangan sebagai gabungan Strategi Lautan Biru Negara (NBOS) dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sebanyak 17 sektor dikenal pasti termasuk pertanian, bioteknologi, bangunan, pendidikan, tenaga, kewangan, makanan, teknologi hijau, penjagaan kesihatan dan hospitaliti.

Sektor lain adalah bandar raya pintar, sukan, telekomunikasi, pengangkutan, pelancongan, pengurusan air serta pengurusan sisa.

Bagi tujuan ini, Unit Strategi Nasional (NSU) di bawah Kementerian Kewangan bersama Futurise Centre @ Cyberview dan Malaysia Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC) menubuhkan Sekretariat Kawal Selia Sandbox Negara bagi menyelaras tindakan seterusnya bagi memastikan pelaksanaannya berjaya.

scroll to top